Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Dia kasi rosak Sabah’ - sentimen anti-Dr Mahathir berterusan

"Dia kasi rosak Sabah”. Itu adalah kata-kata orang pengundi tempatan di Penampang berhubung reaksi mereka terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dan "kerosakan" oleh Dr Mahathir di Sabah bukan hanya terhad kepada apa dipanggil "Projek IC" sahaja, kata lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Danny itu.

"Lebih daripada itu, dia anak tirikan Sabah (dari segi) ekonomi, infrastruktur...,” kata kontraktor berusia 42 tahun itu kepada Malaysiakini.

Ramai penduduk Sabah menyalahkan Dr Mahathir dengan "Projek IC", yang menyaksikan ribuan rakyat asing di negeri itu diberi kewarganegaraan, yang secara dramatik mengubah demografi Sabah.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan untuk menyiasat isu berkenaan kemudian menyalahkan penjawat awam yang korup bertanggungjawap terhadap apa yang berlaku.

“Dendam itu tidak ada tetapi (Dr Mahathir) perlu bersara, (dia) tidak ada pendekatan baru untuk Sabah,” katanya.

Parti Warisan Sabah (WARISAN) - yang menerajui pakatan pembangkang dengan PKR dan DAP di Sabah - hanya digunakan oleh Mahathir untuk terus berkuasa dan meneruskan legasinya, kata Danny.

Memandangkan reputasi buruk Dr Mahathir di Sabah, penganalisis politik Arnold Puyok berkata, ini terbukti menjadi halangan kepada usaha Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menggulingkan kerajaan negeri BN.

Katanya, Mahathir adalah liabiliti bagi pembangkang di Sabah, dan atas sebab ini "jenama Mahathir" tidak digunakan oleh WARISAN.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan berkongsi pandangan yang sama.

"Itulah sebabnya Pakatan Harapan di sini tidak mahu dia datang, kerana mereka memahami sentimen rakyat masih sakit hati.

“Kebanyakannya, seluruh Sabah, sebab yang diambil itu bukan hak Kadazandusun tapi Sabah.
Project IC kesannya orang yang tertekan, displaced,” kata Kitingan kepada pemberita selepas program Gabungan Sabah di Penampang malam semalam.

Seperti Danny, walaupun tidak menyimpan sebarang dendam terhadap Dr Mahathir, Naib Presiden Parti Progresif Sabah, Aloysius Danim Siap berkata pengerusi Pakatan Harapan itu sebenarnya telah mengabaikan negeri berkenaan, memetik Perjanjian Malaysia 1963, yang katanya tidak dihormati.

"(Seperti) Projek IC, dia berkata secara terbuka bahawa dia melakukannya dan bahawa (bekas perdana menteri) Tunku Abdul Rahman Putra juga melakukannya.

"Dia mengakui, jadi bagaimana kamu mencerna ini?" soalnya.

Mahathir pada tahun 2013 mempertahankan pemberian kewarganegaraan kepada rakyat asing di Sabah sebagai tindakan "sah" dan berkata bahawa Tunku Abdul Rahman juga berbuat demikian kepada kononnya "mereka yang tidak layak" apabila dia berkuasa.

Oleh itu, faktor Mahathir hanya akan memberi kesan negatif kepada HARAPAN dan WARISAN di Sabah, kata Aloysius.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS