Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi Parlimen Seputeh Teresa Kok hari ini akur dengan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar gambar Tun Dr Mahathir Mohamad serta pemimpin kanan DAP lain tidak digunakan dalam poster yang dinaikkan.

Katanya, panggilan telefon daripada SPR mengarahkan gambar Dr Mahathir dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng diturunkan segera.

“Ejen saya, Edmund Teoh (kemudian) berunding dengan pegawai SPR dan kami dibenarkan menutup foto mereka sendiri di papan iklan.

“Hari ini kami melaksanakan upacara menutup muka mereka tetapi kami letakkan singkatan nama pendek mereka,” tulisnya di Facebook.

Dengan menggunakan kertas hitam, gambar kedua-dua pemimpin itu kemudian ditutup dan kini hanya tertera singakatan nama mereka.

Pada 30 April lalu, papan iklan HARAPAN di Ayer Hitam juga mengundang masalah apabila gambar Dr Mahathir dipaparkan.

Beberapa anggota penguat kuasa yang memakai jaket keselamatan berwarna kuning bertindak memotong gambar Mahathir.

Menurut garis panduan baru SPR, seseorang calon hanya boleh menampilkan gambar dua pemimpin parti politik - presiden dan timbalan presiden, atau mereka yang setaraf - pada bahan kempen, selain foto calon berkenaan.

Bagi kedua-dua pemimpin kanan itu pula, mereka mestilah dari parti yang diwakili oleh calon tersebut. Foto pemimpin lain dilarang sama sekali.

Bagi peguam kanan Mohd Haniff Khatri Abdulla, SPR boleh dianggap melakukan satu kesalahan dengan membuang gambar Dr Mahathir atau melarangnya daripada digunakan dalam sepanduk atau poster yang dinaikkan sebagai bahan kempen pilihan raya.

Beliau berkata pada 7 Januari lalu, Pakatan Harapan mengumumkan bahawa Mahathir selaku pengerusi gabungan pembangkang itu akan dilantik sebagai perdana menteri jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-14 dan ini diisytiharkan dalam manifesto pilihan raya.

Haniff berkata apa-apa dalam manifesto boleh diterbitkan seperti yang termaktub dalam peraturan-peraturan Tatatertib Pilihan Raya dan memandangkan bahawa Mahathir diumumkan sebagai calon perdana menteri HARAPAN, maka gambarnya boleh digunakan.

Katanya, tindakan SPR dan majlis tempatan atau bandaraya yang melarang gambar Mahathir dan gambar calon-calon lain itu adalah salah.

Beliau berkata, tidak ada undang-undang yang melarang ini.