'Pegawai SPR halang penamaan calon PKR bekas pemimpin pemuda Umno'
PRU14 | Rafizi Ramli mendakwa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya yang menghalang calon Pakatan Harapan (HARAPAN) DUN Rantau Dr S Streram masuk pusat penamaan calon baru-baru ini merupakan bekas ketua penerangan Umno.
Naib presiden PKR itu berkata, pegawai berkenaan malah aktif berkempen untuk menteri besar sementara Datuk Seri Mohamad Hasan dan penyandang parlimen Rembau Datuk Seri Khairy Jamaluddin.
Khairy sebelum ini menghantar surat saman terhadap Rafizi kerana mengeluarkan kenyataan mendakwa ketua pemuda Umno itu berpakat dengan Mohamad mempengaruhi SPR untuk menghalang Streram memasuki pusat penamaan calon.
Semalam, Rafizi mengesahkan menerima surat saman berkenaan dan menjelaskan akan menyerahkan kepada peguamnya untuk urusan mahkamah.
Rantau merupakan DUN di dalam parlimen Rembau.
Dalam perkembangan terbaru berhubung perkara itu semalam, Rafizi turut mempersoalkan identiti pegawai SPR yang terlibat.
"Sejak beberapa hari yang lalu, warga maya telah menunjukkan bukti-bukti dalam bentuk video dan gambar-gambar dari Facebook yang mengesahkan bahawa pegawai SPR yang bertanggungjawab menghalang Dr Streram adalah mantan ketua penerangan, pergerakan pemuda Umno Rembau.
"Sejak identitinya terdedah kepada warga maya dan dikecam hebat, dia telah memadamkan akaun Facebook," kata Rafizi menambah pegawai SPR berkenaan sebelum itu telah mengaku di Facebook bahawa yang bertugas dalam insiden berkenaan.
Justeru, tambah Rafizi, sebagai Ketua Pemuda Umno Khairi bertanggungjawab berterus terang kepada orang ramai, terutamanya pengundi-pengundi di Rantau dan Rembau.
"Adakah dia kenal secara peribadi pegawai SPR yang bertugas yang bernama Hafidzan Idris ini?
"Adakah dia tahu bahawa seorang anggota Pemuda Umno dan mantan Ketua Penerangan Pemuda Umno Rembau sedang menghalang calon Pakatan Harapan mengemukakan pencalonan?
"Adakah dia sedar bahawa pas masuk bukan peraturan pilihanraya dan tertakluk kepada budi bicara pengurus pilihan raya (RO) SPR?
Selain itu, Rafizi juga bertanya apa tindakan Khairy sebagai seorang pemimpin kanan negara yang mempunyai tanggungjawab memastikan kewibawaan proses pilihan raya dipertahankan.
"Sepanjang peristiwa itu berlangsung selama dua setengah jam (dari jam 8 pagi hingga 1030 pagi), apa tindakan Khairy sebagai seorang pimpinan kanan negara yang turut bertanggungjawab memastikan kewibawaan proses pilihanraya di negara ini dipertahankan?
"Khairy boleh membuli saya dengan mengenakan saman tetapi dia tidak boleh memadamkan soalan-soalan ini yang akan terus menjadi bualan rakyat dan pengundi di Rembau.
"Tindakan menyaman saya dengan serta merta menunjukkan Khairy sendiri bimbang dengan kemarahan pengundi (terutamanya pengundi India) yang boleh menjejaskan peluangnya di kerusi Rembau," katanya.

