Ku Nan: Umno siasat veteran sokong HARAPAN
PRU14 | Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata Umno akan meneliti kes mengenai pembabitan veteran parti itu yang menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) dan mengeluarkan kenyataan menghentam kerajaan, lapor media tempatan.
“Kita merupakan sebuah parti yang adil, sebelum sebarang tindakan diambil kita akan lihat dan siasat setiap kes penglibatan veteran yang terbabit.
"Kita akan meneliti setiap kenyataan yang dikeluarkan namun, kadang-kadang mereka nafi," maklum Tengku Adnan.
Tengku Adnan Tengku Mansor juga dipetik berkata, sekiranya pemimpin veteran Umno terbabit melanggar etika dan perlembagaan parti, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka bagi menjaga nama baik parti.
“Ada juga kes yang mana mereka hadir (program gabungan pembangkang PKR) sebagai kawan dan bukan atas kapasiti pemimpin atau ahli politik.

"Jadi kita akan siasat dan teliti perkara ini dengan jelas,” katanya seperti dipetik Utusan Online.
Tengku Adnan mengulas tindakan Umno mengenai tiga veteran parti itu yang lantang mengkritik kerajaan.
Mereka ialah Tun Daim Zainudin, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Dr. Rais Yatim kerana dilihat cenderung menyokong gabungan pembangkang.
Semalam, Daim hadir berceramah di majlis kempen calon PKR Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil. Mantan menteri kewangan itu dilaporkan menyebut ungkapan singkatan RABU-Rakyat AKan Buang Umno ketika berceramah menyeru hadirin mengundi HARAPAN dalam pilihan raya kali ini.

