Mahkamah tolak cabaran 'pengundi meragukan' di Wangsa Maju
PRU14 | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan PKR Wangsa Maju yang mencabar senarai daftar pemilih yang dikatakan mengandungi 7,000 pengundi meragukan yang menyebabkan pertambahan pengundi di kawasan itu.
Hakim Nordin Hassan menolak permohonan itu selepas membenarkan bantahan awal oleh penasihat persekutuan Suzana Atan dan Shamsul Bolhassan, daripada Jabatan Peguam Negara, atas alasan daftar pemilih yang sudah digazetkan tidak boleh dicabar di mahkamah di bawah Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958.
Hakim kemudian memutuskan bahawa siasatan polis berdasarkan lima laporan polis dibuat S Raveentheran berhubung perkara itu tidak dapat dikaji semula.
Raveentheran menamakan Ketua Polis Negara, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR), Pengerusi SPR dan ketua pandaftar SPR sebagai responden dalam permohonan yang dibuat pada 26 April.
Raveentheran memohon semakan kehakiman bagi menggesa polis menyiasat daftar pemilih berhubung dakwaan pemindahan 7,000 pengundi di kawasan itu dalam tempoh singkat.
Pemohon juga menggesa SPR menjalankan tugasnya berdasarkan perlembagaan dan menyiasat dakwaan pelanggaran undang-undang yang menyebabkan pemindahan pengundi dalam kawasan itu.
Calon PKR parlimen Wangsa Maju Tan Yew Kew yang hadir dalam sidang media berkata pihaknya akan merayu di Mahkamah Rayuan.
Menurutnya,perkara itu sudah berkanjutan sejak 2016 apabila pihaknya menyedari pemindahan pengundi yang bertukar alamat dalam jumlah yang besar di dalam kawasan itu.
"Raveentheran dan beberapa yang lain menjalankan siasatan sendiri dengan mengunjungi alamat yang tertera dan mendapati 1,227 pengundi tidak tinggal di alamat yang dinyatakan.
"Bukan tugas kami untuk menyiasat dan ada kemungkinan ada ramai lagi pengundi seumpamnya," katanya sambil penyokongnya menunjukkan klip video yang dikatakan memaparkan pengundi meragukan di kawasannya.
Peguam Lim Heng Seng tampil mewakili Raveentheran.

