PRU14 | Selepas risalah empat halaman berbahasa Cina mendakwa calon parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai anti-Cina diedar di Pekan Kuah, kini poster baru dua halaman turut dikesan diedar di Jeti Kuah, malam tadi.

Kejadian jam 2 pagi tersebut disedari oleh sukarelawan jentera HARAPAN Mahkyar Othman, 57 bersama empat rakannya yang sedang memasang bendera PKR di kawasan tersebut.

“Kita tengah pasang bendera, ada sebuah kereta buat pusingan U, kereta itu jenis Toyota Vios campak poster ini.

“Kami tak perasan risalah yang macam ini, kita ingatkan poster kita terjatuh tapi rupa-rupanya benda macam ni,” katanya kepada Malaysiakini di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Mengulu.

Poster pertama berlatar belakangkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bersama Raja-raja Melayu. Poster itu juga diberikan petikan, “Hahahahhaha, Aku yang melucutkan semua kekebalan kuasa raja-raja Melayu”.

'Kesal dan kecewa'

Manakala poster kedua pula berlatar belakangkan kuil Hindu yang diroboh dengan petikan, “Hahahha, dahulu aku yang arahkan kuil diroboh” dan "Jasamu kami kenang Che Det."

Mahkyar yang kesal kejadian tersebut berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku.

“Kecewa, siapa yang buat macam ni sebab Tun ni ibarat sebahagian hidup kita. Sebab tu sebelum orang lain dapat, kita kutip dulu benda ni. Kita ada ronda, tapi yang kita dapat ini saja,” katanya.

Beliau yang juga seorang nelayan turut mengesyaki poster tersebut turut dibuang di kawasan lain.

“Kawasan-kawasan lain kita rasa ada yang depa buang benda ni, risalah ini. Dia buang selonggok. Itu yang kita kutip tepi jalan,” katanya.

Sebelum ini poster empat halaman mendakwa Dr Mahathir sebagai anti-Cina diedarkan di Pekan Kuah dan kawasan kediaman di Taman Indah, Langkawi.

Risalah itu turut mendakwa, pada 19 Disember 2012, Mahathir pernah menyebut kaum Cina mencapai kejayaan dengan cara menipu.

Selain itu risalah tersebut turut menyebut ketika operasi lalang, terdapat aktivis pendidikan Cina di tahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) kerana membantah tindakan Kementerian Pendidikan menghantar guru-guru yang tidak boleh bercakap bahasa Cina untuk memegang jawatan tinggi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Kerusi parlimen Langkawi berhadapan pertembungan tiga penjuru yang melibatkan Dr Mahathir, Datuk Ir Nawawi Ahmad (BN) dan Zubir Ahmad (PAS).

Pada PRU ke-13 lalu, Nawawi menang di Langkawi dengan kelebihan besar 11,861 undi mengetepikan cabaran wakil PKR, Ahmad Abdullah.