Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRU14 | “Tidak berundur, tidak menyerah, tiada ‘talak tiga’.”

Tiga formula ini adalah suntikan semangat yang diberikan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar kepada pemimpin dan anggota parti bahawa perjuangan mereka dalam PRU ke-14 merupakan ‘peluang terakhir’ untuk merampas semula Selangor.

Dengan kempen PRU14 yang berbaki lima hari lagi, Noh menegaskan sudah cukuplah sepuluh tahun pentadbiran negeri ini dikuasai pakatan pembangkang yang ‘caca marba’ dan diibaratkan sebagai gandingan pelik yang ‘masih tidur serumah meskipun telah bercerai’.

Mengapa digelar sedemikian? Ini kerana tiga anggota Exco kerajaan negeri daripada PAS tetap kekal dalam pimpinan kerajaan negeri meskipun parti itu telah memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR tahun lepas dan sebelum itu dengan DAP.

Menurut Noh sudah sampai masanya mandat kerajaan negeri Selangor diberikan semula kepada BN yang ternyata dan telah terbukti mampu memberikan khidmat lebih baik kepada rakyat negeri ini.

“Kita nak beritahu kepada rakyat Selangor kalau nak ‘bercerai’ (dengan BN) cukuplah sampai talak dua sahaja. (BN tewas di Selangor pada PRU ke-12 dan PRU ke-13).

“Kita tidaklah berangan-angan tinggi tetapi dalam kiraan saya, Insya-Allah, kita akan dapat cukup kerusi untuk tawan Selangor pada PRU ke-14, iaitu sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri). Saya tidak berhasrat sehingga peroleh dua pertiga janji BN menang,” katanya kepada Bernama.

Selangor mempunyai komposisi 56 kerusi DUN, iaitu DAP dan PKR masing-masing menguasai 14 kerusi, PAS dan BN masing-masing 12 kerusi manakala Parti Amanah Negara (Amanah) dan Bebas masing-masing dua kerusi.

Ternyata Noh tidak bercakap kosong berikutan pemilihan calon BN Selangor untuk PRU ke-14 pada 9 Mei ini, menyaksikan 56 muka baru daripada 78 calon Parlimen dan DUN menjadi pertaruhan parti itu.

Selebihnya adalah lima penyandang kerusi Parlimen termasuk beliau sendiri, sembilan penyandang kerusi DUN selain empat calon yang dicalonkan semula setelah tewas pada PRU ke-13.

PRU14 turut menyaksikan kesemua calon yang bertanding terdiri daripada calon tempatan yang telah melalui saringan pemilihan agak ketat, tidak seperti PRU ke-13 apabila BN mempertaruhkan calon langsung, Datuk Zulkifli Noordin di Parlimen Shah Alam. Beliau tewas kepada penyandang kerusi itu Khalid Samad daripada PAS (kini Amanah) dengan majoriti undi yang besar, 10,939 undi.

Ugut, boikot, lompat

Mengenai kemungkinan berlakunya tindakan boikot atau sabotaj oleh mana-mana anggota atau pemimpin yang tidak terpilih bertanding pada PRU14, Noh berkata ini adalah perkara biasa dalam mana-mana parti politik.

“Melalui pengalaman saya selama lima kali bertanding (dalam PRU) ini bukan perkara biasa, dan tidak hairan juga ada yang ugut, boikot, lompat parti…kerana apa? Kerana ini semuanya mereka yang bekerja keras semata-mata untuk jadi calon.

“…tetapi kalau dia kerja keras dan terima hakikat bahawa dia bekerja itu ikhlas kerana nak menguatkan parti bukan kerana nak jadi calon, dia boleh terima kenyataan dan sokong sesiapa sahaja yang jadi calon asalkan BN,” katanya yang yakin BN Selangor mampu menambah lima lagi kerusi Parlimen selain mengekalkan lima kerusi sedia ada, pada PRU kali ini.

Mengenai cakap-cakap orang bahawa pertembungan lebih tiga penjuru di Selangor akan memberi kelebihan kepada BN, Noh berkata jika dilihat pada keputusan PRU ke-13, ada kawasan yang memberi kelebihan kepada BN malah ada juga sebaliknya dan tidak semestinya jika berlaku situasi seperti itu akan memberi kemenangan automatik kepada BN.

“Jika dilihat ketika PRK (Pilihan Raya Kecil) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, ya undi yang memihak kepada BN meningkat tetapi itu hanya sebagai panduan sahaja. Persiapan kita di Selangor dari dulu sampai sekarang ialah berhadapan satu sama satu, itu yang saya tekankan,” katanya yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang untuk penggal keenam.

Beliau berharap supaya rakyat Selangor memberi semula peluang kepada BN yang telah banyak belajar daripada kesilapan lalu untuk meneruskan pembangunan yang dimulakan oleh parti itu sebelum ini.

Noh turut memberi jaminan bahawa segala aku janji yang diberikan oleh BN Selangor dalam manifesto PRU ke-14 seperti menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik dan menyelesaikan isu air akan segera dikotakan sejurus rakyat Selangor memberi semula kepercayaan kepada parti itu.

“Segala perancangan untuk pembangunan di Selangor telah sedia, hanya tunggu mandat diberikan oleh rakyat pada PRU ke-14 ini. InsyaAllah, BN akan jadikan Selangor lebih maju, seperti motto manifesto kita, ‘Better Selangor (Selangor Yang Lebih Baik). Yakinlah, BN lebih baik’,” katanya mengakhiri bicara.

-Bernama

Lihat Komen
ADS