Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Husam: PAS pernah tolak Nik Omar, Nik Abduh di Chempaka

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan Husam Musa mendedahkan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdulllah pernah menolak pencalonan Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan abangnya Nik Omar sebagai calon menggantikan bapa mereka, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada 2015.

Husam mendakwa penolakan itu dibuat apabila Mohd Amar berpendapat 'orang di Pengkalan Chepa' bersikap 'anti' terhadap bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Malah katanya, disebabkan itu juga Nik Abduh tewas dalam pemilihan Jawatankuasa PAS Kawasan berkenaan.

"Selepas Allahyarham Nik Aziz meninggal dunia, kita pernah cadangkan Nik Omar menjadi calon PRK DUN Chempaka.

"Tetapi perkata itu ditolak kerana orang (PAS) Pengkalan Chepa ini mereka anti Tok Guru Nik Aziz daripada awal lagi," katanya kepada media selepas berceramah di Kampung Dusun Muda, Kota Bharu, hari ini.

Husam yang juga calon HARAPAN DUN Salor dan Parlimen Kota Bharu berkata, cadangan meletakkan Nik Abduh di DUN Chempaka juga dibincangkan pada PRK tersebut.

Namun katanya Mohd Amar menolak keras atas alasan Nik Abduh sudah mempunyai kerusi di Parlimen Pasir Mas.

"Justeru, saya menasihatkan Mohd Amar supaya tidak bercakap bohong bagi mengelak lebih banyak perkara yang terbongkar," katanya.

Terdahulu, Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan membidas kenyataan Husam yang terus menyalahkan PAS apabila tidak memberi peluang kepada Nik Omar untuk bertanding di Pengkalan Chepa.

Mohd Amar berkata, beliau tidak faham adakah Husam tidak tahu cara organisasi, kerana ADUN Salor itu sebelum ini salah seorang yang terbabit dalam pemilihan calon dan Husam sendiri tidak memilih Nik Omar.

"Bagaimanapun hari ini semua perkara dibangkitkan dan menyalahkan PAS," katanya.

Sebagai rekod Nik Omar kini bersama HARAPAN sebagai calon di DUN Chempaka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei nanti, manakala Nik Abduh menjadi taruhan PAS bagi mempertahankan Parlimen Bachok.

Lihat Komen
ADS