Di tengah-tengah siasatan Umno terhadap veteran parti itu, Tan Sri Dr Rais Yatim mengingatkan lautan manusia kini tampil menunjukkan sokongan pada Pakatan Harapan.

Di Twitter, beliau memuat naik gambar-gambar ceramah pembangkang yang dibanjiri manusia.

“Dalam keadaan terkini dan lautan manusia sebegini dalam menentukan hala tuju negara bangsa, apakah parti kita masih mahu pecat memecat anggotanya yang kritis?” soal penasihat sosio budaya kerajaan itu.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor semalam berkata Umno akan meneliti kes pembabitan veteran parti itu yang menyokong Pakatan Harapan dan mengeluarkan kenyataan menghentam kerajaan.

Selain Rais yang rancak mengkritik kerajaan di alam maya, pihak yang menjadi perhatian termasuk dua bekas menteri Umno – Tun Daim Zainudin, Tan Sri Rafidah Aziz – yang telah dan dijadual menyertai kempen pembangkang.

Di media sosial, bekas menteri kebudayaan itu juga menyeru orang ramai melapangkan dada dan “bersama bawa perubahan”.

Sementara itu, merujuk khusus kepada ceramah di Kuantan dan Putrajaya, beliau berkata kehadiran ribuan manusia itu boleh mencerminkan penerimaan sesebuah parti.

“Apakah gelombang puluhan ribu rakyat seperti di Kuantan dan Putrajaya boleh diiktiraf sebagai tahap sokongan tertinggi terhadap sebuah perjuangan?
 

“Tentu sekali begitu. Umno jangan takut, peluklah perubahan,” katanya.