Paling Popular
Terkini

PAS menyelar dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan 14 mangsa tragedi Memali sebagai 'mati katak'.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan bekas perdana menteri yang menolak kematian mangsa tragedi itu sebagai mati syahid adalah penghinaan melampau kepada mangsa, keluarga dan seluruh rakyat Malaysia.

Menurut beliau, tragedi tersebut sudah 32 tahun berlalu namun Dr Mahathir terus membuat penghinaan kepada mangsa Memali yang menurutnya diserang dan bukannya menyerang polis.

"Kita lihat kematian mangsa Memali menyebabkan Sultan Kedah sendiri mencemar duli ke kubur mangsa tragedi.

"Jika mangsa Memali itu dikatakan mati katak, adalah tindakan Sultan Kedah ketika itu disifatkan tidak betul?

"Tun Mahathir dan Pakatan Harapan (HARAPAN) kini sudah terdesak sehingga membangkitkan isu puluhan tahun lalu. Bagi PAS, tuduhan Dr Mahathir melampaui tatasusila umat Islam dan Melayu," katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Dr Mahathir yang juga pengerusi HARAPAN mendakwa 14 mangsa yang terkorban dalam tragedi berdarah Memali pada 1985 sebagai 'mati katak', bukan mati syahid.

Beliau mendakwa, 'Amanat Haji Hadi' pada 1981 yang menjadi punca berlakunya peristiwa hitam itu dengan membunuh pegawai kerajaan yang disifatkan sebagai kafir.

Tak nampak macam dah bertaubat

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, Tun Mahathir tidak sepatutnya terus menghentam isu Memali, sebaliknya berlapang dada dan berjumpa keluarga mangsa untuk meminta maaf.

"Tragedi Memali ini bukan perkara main-main. Sebelum ini, saya pernah berjumpa dengan anak Mahathir iaitu Datuk Seri Mukhriz meminta bapanya berjumpa keluarga untuk memohon maaf.

"Mukhriz memaklumkan dia sudah berjumpa dengan keluarga mangsa, dan saya kata sepatutnya Mahathir sendiri pergi minta maaf bukan terus menyerang.

"Tetapi saya yakin orang macam Dr Mahathir takkan minta maaf," jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya hairan apabila orang seperti Dr Mahathir masih mahu diangkat sebagai perdana menteri sekali lagi.

"Sebab itu saya pelik ada orang nak angkat dia semula sebagai perdana menteri, kononnya dia bertaubat.

"Saya tak nampak macam muka bertaubat, wallahualam," katanya.

Lihat Komen
ADS