HARAPAN cuma nak pastikan 'Manchester United' kekal juara
Pelbagai analogi yang timbul semasa musim berkempen pada pilihan raya umum ke-14 kali ini.
Bagi calon Pakatan Harapan DUN Chempaka Nik Omar Nik Abdul Aziz, beliau mengumpamakan Malaysia dengan pasukan bola sepak Liga Inggeris Manchester United (MU).
Gabungan pembangkang, HARAPAN pula disamakan dengan pengurus atau jurulatih pasukan.
"Cuma kalau adik, kakak nak lebih baik lagi, kita pun bawa Islam juga melalui HARAPAN. Kita akan lakukan yang terbaik dan mana yang comel dah kita akan kekalkan.
"Macam contoh pasukan MU, selalu kalah apa pengurusan dia buat? Mesti nak kena tukar pengurus, jurulatih, pemain. Bila mari orang baru adakah untuk musnahkan?
"Tidak semestinya kita baru kita nak pasukan itu bertambah teruk tetapi kita mahu bertambah elok, lebih banyak kemenangan.
“Sama juga dengan HARAPAN ini. Kita nak lebih baik sama ada di Malaysia dan juga di Kelantan," katanya.
Anak kedua bekas mursyidul am PAS allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat itu juga berkata HARAPAN hanya mahu memastikan 'Manchester United' kekal juara dan memenangi lebih banyak perlawanan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sarapan pagi bersama presiden PKR yang juga calon parlimen Pandan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di ibu negara hari ini.
Kemunculan Nik Omar sebagai calon HARAPAN dan mewakili Parti Amanah Negara (AMANAH) mengejutkan ramai pihak.
Ini disebabkan Nik Omar menyertai parti serpihan PAS berkenaan dan akan bertanding di kerusi yang pernah disandang oleh almarhum bapanya yang juga bekas menteri besar Kelantan.

