Najib: Jangan ulangi mimpi ngeri PAS tadbir Terengganu
Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Najib Razak mengingatkan rakyat di Terengganu supaya mengambil iktibar dengan memastikan mimpi ngeri sepanjang tempoh PAS mentadbir negeri itu dari 1999 hingga 2004 tidak berulang.
Beliau berkata kesilapan itu perlu dihindari apabila mereka keluar mengundi pada Rabu, 9 Mei ini.
“Kita pernah mengalami mimpi ngeri di Terengganu selama lima tahun dan kita tak mahu mengulangi apa yang kita telah lalui pada masa-masa lalu,” katanya di hadapan ribuan hadirin ketika merasmikan UTC Negeri di Kuala Terengganu, hari ini.
Menurut Najib, rakyat hari ini juga tidak boleh bergantung kepada parti-parti gabungan pembangkang.
“Pihak satu lagi yang bertanding dengan mata lebamnya, kita lihat tak boleh bergantung dan kita juga tahu bahawa masa depan kita memang dengan BN,” katanya.
Justeru, Najib menasihatkan semua pihak khususnya rakyat di Terengganu supaya membuat pilihan bijak.
“Jadi, terima kasih saya ucapkan kerana menjayakan program ini dan saya sekali lagi saya sebagai pengerusi BN dan perdana menteri Malaysia merayu kepada tuan,puan supaya buatlah pilihan yang bijak pada 9 Mei nanti dan pastikan BN di bumi Terengganu ini terus kekal di tangan BN,” katanya.
Najib juga mengingatkan rakyat agar membuat pertimbangan mereka berasaskan fakta dan bukannya auta ketika tsunami fitnah kian kencang melanda dan menjadikan kerajaan dan pemimpin BN sebagai sasaran.
“Sepatutnya kita menentukan siapakah yang ada agenda yang terbaik untuk negara kita. Kita juga perlu menentukan bahawa kehidupan kita akan bertambah lebih baik dengan memilih mana satu pihak yang boleh membawa Malaysia ke mercu kejayaan yang kita banggakan.
“Inilah set kriteria yang kita boleh kumpulkan untuk membolehkan kita menjadi pengundi yang matang dan bijak menilai antara permata dan kaca,” katanyanya.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

