Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Projek ECRL bantu rakyat Terengganu tunai haji'

Pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memberi kesan positif dan manfaat besar kepada rakyat khususnya di negeri-negeri Pantai Timur, kata penyandang Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahmad Razif berkata selain memudahkan pergerakan dan membangunkan pertumbuhan bandar baru di Pantai Timur, projek membolehkan rakyat di Terengganu melaksanakan rukun Islam kelima iaitu menunaikan haji.

“Kawasan yang dulu tidak dibangunkan dengan adanya projek (ECRL) ini ia dapat dibangunkan dan yang akhirnya rakyat dapat manfaat melalui tanah-tanah bernilai tinggi itu.

"Maka bila dijual ramai rakyat Terengganu yang dapat menunaikan rukun kelima iaitu menunaikan ibadah haji,” katanya ketika berucap di majlis Perasmian UTC Negeri Terengganu, Paya Bunga, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama pada majlis perasmian itu Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Najib Razak serta barisan kepimpinan negeri sebelum ini.

Najib pemimpin hebat

Mengulas lanjut Razif yang juga juga calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir berkata projek yang dilhamkan perdana menteri itu sememangnya ditunggu-tunggu rakyat Terengganu.

“Inilah pemimpin yang hebat yang sentiasa memikirkan kebajikan rakyat dan mengutamakan juga kita dapat menyempurnakan rukun Islam kita dengan kita mendapat pulangan daripada apa yang dilaksanakan.

“Jadi perdana menteri saya mewakili rakyat Terengganu ucapkan terima kasih, rakyat negeri Terengganu hari ini lama dah kita tunggu kereta api, yang kita ada pun di Bukit Besi dan itu pun tinggal rel saja,” katanya.

ECRL yang dirasmikan oleh Najib pada Ogos tahun lalu membabitkan pembinaan laluan rel kereta api sepanjang 600.3 kilometer merentasi sebahagian Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Projek mega bernilai kira-kira RM55 bilion yang dijangka siap pada 2024 itu adalah pengangkutan awam penumpang dan kargo yang berupaya memendekkan tempoh perjalanan dari Tumpat, Kelantan ke Gombak, Selangor kepada hanya lima jam.

Ia sdijangka meningkatkan pertumbuhan ekonomi sehingga 1.5 peratus bagi negeri di Pantai Timur, seterusnya menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Lihat Komen
ADS