Panglima TLDM dakwa seruan mengundi diputar belit
Panglima Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata pesanannya berkaitan pilihan raya kepada anggota pasukan itu telah diputar belit.
“Memalukan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab cuba putar belit apa yang sama kata di (Facebbok TLDM) NavyFB dan menjadikannya #FakeNews (berita palsu).
“Tolong berhenti politikkan isu ini,” katanya di Twitter.
Beliau turut menggunakan tanda pagar #WeAreOne dan #hebatkanNegaraku.
Tanda pagar #hebatkanNegaraku kebetulan dipopularkan pemimpin BN selepas pelancaran manifesto pilihan raya mereka yang menggunakan slogan “Bersama BN hebatkan Negaraku”.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas beredar tulisan menyebut beliau membuat "letupan" dengan mengeluarkan kenyataan yang ditafsirkan sebagai "kejayaan besar" kepada calon perdana menteri Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam Facebook TLDM semalam, Kamarulzaman antaranya menyeru anggotanya supaya mengundi secara bijaksana dan tidak membiarkan “peluang keemasan” terlepas begitu sahaja.
Beliau juga menegaskan undi adalah rahsia dan meminta anggotanya tidak dipengaruhi dengan hasutan-hasutan yang boleh menjejas keputusan pemilihan.
Kenyataan itu dibuat dua hari selepas Mahathir menulis surat khas kepada panglima-panglima tentera, termasuk TLDM, meminta anggota pasukan keselamatan mengundi dengan bebas dan tanpa kekangan.
Pemilihan awal, yang turut melibatkan anggota tentera dan keluarga mereka, akan dijalankan esok.

