Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak boleh menuding jari kepada BN berikutan pendedahan yang didakwa melibatkan presidennya Mohamad Sabu, kata Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN (BNSC), Eric See-To.

"Ia anggota AMANAH yang dedahkan ini - bukan BN. BN tidak dilihat dalam perkara ini," dakwanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjawab kenyataan timbalan presiden AMANAH Salahuddin Ayub yang mendakwa pendedahan itu berpunca daripada "berita palsu" BN.

"Individu yang dedahkan (didakwa) anggota AMANAH. Orang yang dedahkan adalah presiden AMANAH. Tetapi BN dipersalahkan?

"Saya beri jaminan bahawa ramai dalam BN juga suka menonton ceramah Mat Sabu (Mohamad Sabu) kerana ia lucu dan menghiburkan - walaupun tidak ada fakta dan kebenaran," katanya.

See To berkata pendedahan itu boleh jadi berpunca daripada tindakan sabotaj dalaman atau perebutan kuasa dalam AMANAH.

Berikutan itu, pemimpin strategi BN itu berkata adalah lebih baik Mohamad membuat laporan polis berhubung perkara itu.

"Biarkan polis siasat. Jangan meroyan atau dakwa ia adalah berita palsu dan kemudian salahkan BN. Jangan fitnah BN. Pergi selesaikan masalah dalaman parti sendiri dan jangan cuba salahkan orang lain," katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Mohamad akan memulakan tindakan undang-undang terhadap individu yang menuduh beliau terlibat dalam skandal seks.


BacaPenuduh skandal Mat Sabu akan diheret ke mahkamah


Semalam, Rizal Bakar, yang mendakwa sebagai anggota AMANAH Kuala Kedah, dan dua yang lain mendedahkan tangkap layar perbualan WhatsApp dan dua rakaman audio perbualan telefon yang didakwa melibatkan Mat Sabu.


Baca: Lelaki misteri ancam dedah video seks pemimpin AMANAH

AMANAH juga merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Rizal kerana didakwa menyamar sebagai anggota parti itu.