Dalam mesej kepada pengundi awal, Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Najib Razak menggesa pasukan keselamatan bersama pasangan masing-masing untuk mengundi berdasarkan fakta, pencapaian, dan segala sumbangan kerajaan kepada negara.

Beliau berkata, bahawa Manifesto BN jelas memperlihatkan bagaimana kerajaan sentiasa memikirkan kebajikan dan kesejahteraan mereka.

“Antaranya termasuklah penyediaan 45,000 unit rumah keluarga angkatan tentera menjelang 2030, 10,000 unit rumah SASaR, 10,000 unit rumah PPA1M untuk polis dan peningkatan kuota haji khas untuk pesara.

“Pihak pembangkang pula, selain memperlekehkan fungsi serta tanggungjawab penjawat awam yang termasuk anggota-anggota keselamatan negara, mereka berniat untuk mengurangkan jumlah penjawat awam pula.

“Penang Institute misalnya, pernah berkata bahawa sebenarnya Malaysia perlu 430,000 orang penjawat awam sahaja. Ini bermakna, daripada 1.6 juta penjawat awam hari ini, ada kemungkinan besar 1.2 juta akan kehilangan hidup dan mata pencarian.

“Parti dan wakil rakyat ini hendaklah ditolak. Hakikatnya, 'Harapan' sebenar ada pada BN,” katanya yang membidas gabungan pembangkang Pakatan Harapan (HARAPAN).

Najib juga meminta pengundi awal, yang akan mengundi esok, supaya tidak membuat keputusan berdasarkan hasutan.

Mengimbas kembali pencerobohan di Lahad Datu, perdana menteri sementara berkata beliau masih teringat lagi tangisan ahli keluarga perajurit negara yang gugur mempertahankan kedaulatan negara.

Namun, katanya, pembangkang memperlekehkan, malah ada yang tergamak menyatakan ia hanya sandiwara semata-mata.

Najib turut menuduh pembangkang sebagai tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan.

“Kerajaan juga tidak pernah menghalang, mengekang atau mengarahkan bagaimana saudara-saudari melaksanakan tanggungjawab dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan ini.

“Pilihlah kestabilan, pilihlah kemakmuran, pilihlah kejayaan. Pilihlah untuk #HebatkanNegaraku,” katanya.