KL-S'pura laluan pesawat tersibuk di dunia
Laluan penerbangan penumpang Kuala Lumpur-Singapura berada pada kedudukan teratas dalam senarai 20 Laluan Antarabangsa Tersibuk di dunia OAG bagi tempoh Mac 2017 sehingga Februari tahun ini.
OAG dalam satu kenyataan berkata laluan tersibuk itu merekodkan sebanyak 30,537 penerbangan dengan lebih empat juta penumpang yang dibawa tujuh syarikat penerbangan.
“Syarikat penerbangan itu ialah Air Asia, Malaysia Airlines, SilkAir, Jetstar, Singapore Airlines, Malindo dan Scoot.
“Kedudukan itu turut menyenaraikan laluan Hong Kong-Taipei, (kedua), Jakarta-Singapura (ketiga). Hong Kong-Shanghai-Pudong (keempat) dan Jakarta-Kuala Lumpur melengkapkan senarai lima teratas Asia,” tambahnya.
Pengarah Jualan Wilayah Jepun-Asia Pasifik OAG, Mayur Patel berkata tidak mengejutkan apabila 14 daripada 20 laluan tersibuk di dunia itu, termasuk lapan daripada 10 senarai teratas, melibatkan laluan antara dua bandar Asia memandangkan terdapat perluasan perjalanan penumpang udara di seluruh Asia Pasifik serta persaingan sengit antara syarikat penerbangan di rantau ini.
Diterbitkan secara tahunan, senarai 20 Laluan Antarabangsa Tersibuk di dunia OAG dikira dengan menganalisis kekerapan pesawat melalui laluan penerbangan antarabangsa dalam masa 12 bulan sehingga Februari 2018.
OAG adalah peneraju penyedia maklumat penerbangan digital yang menyediakan maklumat tepat dan aplikasi merentasi semua sektor perjalanan kepada syarikat penerbangan antarabangsa, lapangan terbang, agensi kerajaan, pengeluar pesawat, firma perundingan dan syarikat berkaitan perjalanan.
Maklumat lanjut boleh didapati di www.oag.com.
- Bernama

