PRU14 | Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menjangkakan rakyat di Langkawi tidak akan memilih Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mewakili mereka kerana Pakatan Harapan (HARAPAN) itu dibayangi DAP.

Kata Ahmad Bashah, pengundi di tanah legenda Mahsuri itu juga bijak memilih pemimpin yang akan membangunkan Langkawi.

Terdahulu beliau diminta mengulas ramalan bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin yang yakin Dr Mahathir mampu menang di Parlimen Langkawi.

Selain itu Daim juga begitu pasti HARAPAN dapat membentuk kerajaan di peringkat pusat.

“Itu dia kata (Daim), kita kata kita akan menang. Ini biasa dalam PRU, pembangkang akan meyakinkan pekerja-pekerja dia, kalau tak macam mana dia nak buat kerja?" katanya.

Mengenai nasib BN di Langkawi Ahmad Bashah berkata hal berkenaan diserahkan kepada pilihan pengundi di pulau peranginan yang terkenal itu.

"Dari segi pengalaman, kita yakin Langkawi ni dikekalkan, tiga-tiga kawasan DUN itu kita akan pastikan.

“Lagi pula pengundi di Langkawi tahu itu masa depan dan hanya BN sahaja boleh bawa (kemajuan).

"Perlu kerajaan yang sama di negeri dan persekutuan," katanya.

Ahmad Bashah ditemui pemberita selepas membuat lawatan di Ayer Hangat.

Gerak kerja memuaskan

Semalam Daim membuat ramalan, PRU yang akan diadakan empat hari lagi akan memihak kepada HARAPAN. Bekas menteri yang disegani itu juga menjangkakan Perak dan Kedah akan jatuh ke tangan HARAPAN.

Pahang dan Melaka pula, kata Daim, kedudukan adalah 50-50, manakala Selangor dan Pulau Pinang terus kekal dalam genggaman gabungan itu.

Megulas lanjut, Ahmad Bashah yang juga menteri besar sementara Kedah turut menolak tanggapan pihak tertentu bahawa aura Dr Mahathir masih kuat di Langkawi.

“Ya, itu dulu kerana dia dulu perdana menteri. Sekarang dia pembangkang. Orang Langkawi tak bagi sokongan kerana di belakang dia DAP,” katanya.

Ahmad Bashah juga berkata secara keseluruhan kempen BN di Kedah bagi menghadapi PRU ke-14 pada 9 Mei ini adalah memuaskan.

Langkawi merupakan kerusi panas, apabila menyaksikan bekas perdana menteri itu terjun ke gelanggang semula selepas bersara pada 2003.

HARAPAN berdepan pertandingan tiga penjuru di Langkawi apabila Dr Mahathir cuba mengetepikan penyandang dari BN Datuk Nawawi Ahmad, dan PAS pula meletakkan Zubir Ahmad.