Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) hari ini membuat laporan polis berhubung gambar dan video yang tular di Sabah melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook kononnya Barisan Nasional (BN) menggunakan warga Bangladesh sebagai pengundi untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi GAUM Datuk Zulkarnain Mahdar dalam kenyataannya hari ini berkata gambar dan video berkenaan sebenarnya telah digunakan pada PRU13 untuk memfitnah dan memburukkan BN.

Katanya video serta gambar yang menunjukkan sekumpulan warganegara Bangladesh berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan topi berwarnà biru tersebut, sebenarnya adalah pekerja kilang yang diambil bekerja di Kuala Lumpur.

Menurutnya topi berwarna biru yang digunakan oleh pekerja tersebut adalah topi rasmi bagi setiap pekerja kilang tersebut dan ia langsung tidak tertera logo BN.

“Justeru laporan polis ini dibuat bagi membersihkan nama baik Barisan Nasional serta meminta pihak polis mengenakan tindakan undang-undang yang keras kepada individu yang secara sengaja telah memuat naik berita palsu ini mengikut akta berita palsu dan fitnah,” katanya dan menambah laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

- Bernama