Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid yakin ada kejutan ‘serangan saat akhir’ pembangkang
Diterbitkan:  May 4, 2018 6:46 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin akan berlaku 'kejutan serangan di saat akhir’ oleh pihak pembangkang untuk mempengaruhi undi terhadap Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Mengambil contoh dua pilihan raya umum lalu, beliau berkata pihak pembangkang melakukan serangan dan fitnah benar-benar di saat akhir sebelum pilihan raya umum berlangsung sehingga BN tidak mempunyai kesempatan untuk menjawab tohmahan tersebut.

"Kita (BN) agak terasak ke dinding di dalam dua pilihan raya umum yang lalu, PRU12 dan PRU13, apabila surprise last minute attack ini tidak dijawab kerana ia 11-hour attack…. tak ada kesempatan BN untuk membalasnya.

"Saya yakin akan ada serangan yang lebih besar lagi (pada PRU14) kerana mereka amat terdesak sekarang ini.

“Apabila mereka telah cross the line kita lihat banyak lagi bahan-bahan bukan hanya yang bersifat isu-isu nasional tetapi pembunuhan karakter terutamanya kepada calon-calon (BN) di sesuatu kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya pada sidang media, di Baling hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan majlis pecah tanah projek Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah Kampus Baling di Kampung Bandar, Mukim Siong di Baling.

Turut hadir Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid, calon BN Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu Mohamed Noor Mohamed Amin, DUN Kupang Datuk Harun Abdul Aziz dan DUN Kuala Ketil Datuk Mohd Khairul Azhar Abdullah.

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata pemimpin BN sememangnya telah lali dengan serangan seumpama itu dan beliau berharap penyokong BN termasuk pengundi atas pagar supaya tidak mudah terpengaruh dan percaya dengan dakyah yang disebarkan pihak terbabit.

Beliau berkata tindakan pihak pembangkang itu hanya untuk mengaburi pemikiran rakyat dengan menafikan semua sumbangan dan tranformasi yang telah dilakukan kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Oleh kerana mereka tidak ada bahan untuk memperlihatkan rekod cemerlang negeri-negeri yang dikuasai mereka atau tokoh yang mereka promosi, caranya adalah dengan cara adverse atau negatif dan juga reverse psychology.

“Kita anggap ini adalah isu politik dan ia harus diatasi dengan kaedah politik selain kaedah perundangan," katanya.

Terdahulu, ketika berucap, Ahmad Zahid yang juga timbalan pengerusi BN mengingatkan semua anggota dan jentera parti komponen itu agar mempunyai daya tahan yang kuat kerana serangan yang dibuat itu akan datang dalam pelbagai bentuk.

"Pada pilihan raya umum lepas mereka telah menyebarkan kononnya 40,000 pengundi Bangladesh dibawa masuk untuk menangkan BN.

“Inilah contoh surprise last minute attack. Ketika itu Umno dan BN tidak bersedia dan tidak menjangkakan fitnah itu boleh dipercayai oleh rakyat Malaysia.

"Kita periksa sama ada di lapangan terbang di seluruh negara ada atau tidak kapal terbang dari Bangladesh atau negara berhampiran datang, memang tidak ada. Tetapi dipercayai oleh rakyat ketika itu yang terpengaruh kempen pihak pembangkang," katanya.

Ahmad Zahid menegaskan kerajaan tidak pernah berkompromi dengan sesiapa sahaja yang menerbit dan menyebarkan berita palsu serta tindakan akan dikenakan terhadap pihak terbabit kerana demokrasi harus diterjemahkan sebaiknya tanpa fitnah dan penipuan.

"Negara demokrasi harus melakukan kempen secara bersih. Fitnah adalah satu kaedah yang digunakan Nazi Jerman yang telah menyatakan jika fitnah diulang-ulang orang akan percaya.

“Belajar daripada teori ini saya menyeru supaya kita harus berpijak di bumi yang nyata.

"Di zaman moden seperti ini kita mahu semua parti politik harus lebih matang. Dalam usia kematangan ini kita mesti benar-benar menterjemahkan makna demokrasi dengan sebaiknya," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS