Seramai 6,136 anggota polis akan mengundi awal di 27 pusat pengundian di seluruh Pulau Pinang esok.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan berkata pengundian awal akan bermula pada 8 pagi hingga 5 petang di 32 saluran yang telah disediakan.

“Kita berharap proses ini berjalan dengan aman dan selamat,” katanya semasa sidang akhbar di George Town hari ini.

Sementara itu, Thaiveegan juga berkata setakat ini pihaknya telah menerima 115 laporan polis berkaitan kesalahan pilihan raya dan membuka 15 kertas siasatan.

Polis juga sedang menyiasat satu kes yang mana dadah jenis ganja telah dijumpai di sebuah pejabat parti di Seberang Perai Tengah.

“Kami memohon semua parti politik dan penyokong untuk menjaga tingkah laku sepanjang pilihan raya ini berjalan demi memastikan keamanan dan keharmonian dapat dipelihara,” katanya.

- Bernama