Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRU14 | Perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak hari ini berkongsi hobi terbarunya dengan penduduk di kawasan dewan undangan negeri (DUN) Kuala Berang, Terengganu.

Dalam perkongsian tersebut, Najib yang juga pengerusi BN berkata hobi terbarunya itu adalah berkongsi video klip di YouTube.

Menurut Najib, melalui video yang dikongsikan itu beliau dapat melihat reaksi mahu pun serangan daripada pihak lawan terhadap dirinya, khususnya daripada pakatan pembangkang.

“Sekarang ini malam-malam, hobi saya sebelum tidur saya tengok YouTube. Ini zaman media sosial, sebelum saya tidur saya kena tengok YouTube, nak tengok apa dia (pembangkang) kata pada kita.

“Kalau banyak sangat dia kata, dia kutuk saya, saya tengoklah YouTube,” katanya ketika berucap pada program mesra rakyat bersama perdana menteri hari ini.

Kata Najib, dalam banyak-banyak video yang dilihat beliau tertarik dengan satu rakaman sidang media Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad bersama rakan sekutunya Mohamad Sabu dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Apa yang mencuit hatinya ialah apabila Dr Mahathir menyatakan beliau tidak pernah menahan mana-mana individu, sedangkan realitinya, kata Najib, pada zaman pemerintahan calon parlimen Langkawi itulah paling ramai orang menjadi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Enggan buka cerita Mahathir

“Adalah saya tertengok satu video sidang media Tun Mahathir ini, sebelah kanan dia Mat Sabu.

"Dia boleh cakap dengan muka selamba saja: pada zaman saya (Mahathir), saya tak pernah lokap sesiapa.

“Ehh... Mat Sabu di sebelah dia, pernah ditahan di bawah ISA. Belah kiri dia Wan Azizah, suami dia pun (ditahan) bawah ISA. Tambah lagi dengan mata lebamnya, yang jadi simbol parti dia sekarang,” katanya disambut tepukan hadirin.

Kata Najib, turut menjadi mangsa tahanan politik Dr Mahathir ialah timbalan perdana menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Dia boleh kata saya ni lebih zalim... Saya ini siapa yang saya lokap ISA? Tak ada seorang pun, sebab dah tak ada ISA. Bila saya jadi perdana menteri saya mansuhkan ISA.

“Masa Ops Lalang beratus orang ditahan termasuk sahabat saya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang hari ini jadi timbalan perdana menteri.

"Ketua polis pun tahu menteri dalam negeri hari ini pernah ditahan bawah ISA,” katanya.

Tambah Najib, beliau boleh sahaja mahu membuka segala cerita mengenai Dr Mahathir namun memilih tidak berbuat sedemikian.

“Kalau nak saya cerita pengalaman Datuk Seri Zahid dalam tahanan ISA saya boleh cerita, nak tahu pemikiran Dr Mahathir boleh cerita.

“Tapi nanti orang kata saya burukkan pemimpin yang tua pula nanti tak boleh. Tak manis, orang dah 93 tahun.

"Tuan Haji Hadi kata dah 93 tahun baik kita bagi dia rehat, kita kesian pada dia sebab itu kita suruh dia rehat,” tambahnya.

Najib mengadakan siri jelajahnya ke Terengganu hari ini yang bermula di Kuala Terengganu bagi merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Terengganu.

Lawatan itu adalah sebahagian daripada kunjungan Najib sempena pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang akan berlangsung 9 Mei ini.

Ia diikuti dengan rombongan ke Masjid Al-Amin di Kampung Buluh untuk menunaikan solat Jumaat sebelum ke Dewan Komuniti Kuala Berang bagi program mesra bersama rakyat Hulu Terengganu.

Hadir sama pada program tersebut adalah barisan kempimpinan negeri Terengganu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS