'K'jaan Perlis tak sisih Sanglang walaupun bawah pembangkang'
Walaupun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang terletak lebih 25 kilometer dari pusat bandar Kangar, masyarakatnya tetap merasai limpahan pembangunan dibawa kerajaan negeri dan tidak pernah tersisih dalam agihan kebajikan sepanjang 20 tahun ini.
Kerusi DUN Sanglang, milik pembangkang sejak empat penggal lalu, tetap menjadi perhatian kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) dan menjadi antara kawasan di Perlis yang menerima projek berimpak tinggi iaitu pembinaan sebuah jeti bersepadu di Kuala Sanglang.
Penduduk Kampung Sanglang, Ziafitrah Abdullah, 48, berkata Sanglang kini semakin rancak membangun dan taraf sosioekonomi masyarakat juga dilihat semakin baik.
"Kami tidak pernah berasa seperti berada dalam kawasan pembangkang, kerajaan negeri pimpinan BN sentiasa memberi perhatian kepada rakyat di Sanglang," katanya kepada Bernama.
Katanya keprihatinan BN terhadap Sanglang juga jelas apabila menerusi manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) BN berjanji mewujudkan Bandar Baharu Kuala Sanglang dengan membangunkan lebih banyak kawasan perumahan mampu milik dan bangunan komersial.
"Dengan adanya lebih banyak kawasan perumahan, lengkap dengan pelbagai kemudahan, Sanglang pasti menjadi satu kawasan yang menjadi tumpuan dan pesat membangun," katanya.
Ziafitrah berkata, kerajaan negeri juga sangat peka dan mengambil berat tentang kebajikan penduduk Sanglang dan sentiasa bersegera dalam menghulurkan sebarang bantuan apabila rakyat ditimpa musibah seperti ribut.
"Kawasan kami agak kerap dilanda bencana seperti ribut hingga menyebabkan rumah penduduk rosak. Bila keadaan seperti ini berlaku, banyak bantuan disalurkan kerajaan negeri untuk membaik pulih rumah yang rosak," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Rama, Ku Hishamudin Ku Bakar berkata sebagai pihak yang paling hampir dengan akar umbi, beliau sentiasa berkhidmat secara adil tanpa mengira fahaman politik setiap individu yang berurusan dengannya.
"Apa yang kawasan lain dapat, kawasan Sanglang pun dapat dan dari segi kebajikan semua 8,672 pengundi di Sanglang, semuanya tetap menerima bahagian masing-masing secara sama rata," katanya.
Ku Hishamudin berkata projek jeti bersepadu yang melibatkan kos menjangkau RM1.8 bilion itu, adalah satu bonus kepada penduduk tempatan kerana ia merupakan sebuah projek mega pasti mengubah landskap Sanglang.
"Ia akan melonjakan pembangunan ekonomi di Sanglang kerana peluang pekerjaan pasti banyak, di samping itu kesan limpahan daripada projek itu memberi pelbagai peluang kepada penduduk setempat untuk meningkatkan sumber pendapatan mereka," katanya.
Katanya, setiap rancangan projek pembangunan di kawasan berkenaan akan lebih mudah dilaksanakan sekiranya BN kembali merampas kerusi DUN itu.
Beliau berkata berdasarkan prestasi kerajaan BN yang baik sebelum ini, rakyat sudah pasti bijak menilai dan akan menterjemahkannya pada hari pengundian 9 Mei ini.
Pada PRU13, calon BN, Dr Fathul Bari Mat Jahya tewas tipis kepada calon PAS yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Shukri Ramli dengan majoriti 121 undi di kerusi DUN Sanglang.
Dalam gelanggang PRU14 ini, Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Arau, Che Zaidi Saidin yang merupakan calon baharu BN akan berentap dengan penyandang, Mohd Shukri, dan Zolkharnain Abidin (PKR). - Bernama

