Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru di kerusi panas Parlimen Jerlun, yang disifatkan agak menarik apabila ia membabitkan pertemuan antara penyandang, Datuk Othman Aziz (BN) dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (HARAPAN) dan Abd Ghani Ahmad (PAS).

Manakan tidak, kerusi yang boleh disebut sebagai ‘kerusi transit’ antara PAS dan BN sejak dahulu lagi itu menyaksikan Mukhriz yang merupakan bekas menteri besar Kedah dan juga bekas ketua Umno bahagian kawasan itu, kali ini cuba ‘belayar’ di kawasan itu melalui nakhoda berbeza iaitu PKR-BERSATU.

Abd Ghani juga bukan calang-calang orangnya, dia sudah tentunya calon yang tidak asing lagi di Parlimen itu memandangkan dia pernah dua kali bertemu dengan Othman dalam perebutan kerusi DUN Ayer Hitam pada tahun 2004 dan 2008, selain merebut kerusi sama dengan Mukhriz pada PRU13.

Pada PRU13, Othman, menang dengan majoriti 3,270 undi ke atas calon PAS, Ismail Salleh bagi kerusi Parlimen Jerlun manakala Mukhriz pula menewaskan Abd Ghani (PAS) dengan majoriti 2,446 di kerusi DUN Ayer Hitam.

Rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan sejumlah 54,132 pengundi berdaftar di Parlimen itu sehingga kini, pertambahan 1,749 pengundi baharu dalam tempoh lima tahun.

Majoriti penduduk di kawasan itu adalah 91.23 peratus Melayu, dengan lebih 90 peratus daripada mereka bekerja sebagai pesawah, nelayan dan pekebun kecil manakala 61.08 peratus pula merupakan pengundi berumur 40 tahun ke atas dan selebihnya berusia 21 hingga 39 tahun.

Justeru calon manakah yang mampu menambat hati pengundi di situ?

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata berdasarkan kepada angka 60 peratus pengundi di kawasan itu berusia 40 tahun ke atas, sudah pasti mereka sudah berkeluarga dan mempunyai tanggungan.

"Mereka ini semestinya mengharap sokongan dan bantuan kerajaan, segala kemudahan bantuan untuk pelajaran anak dan kemudahan perumahan misalnya mestilah datang daripada pihak yang boleh menyampaikan perkhidmatan yang bagus," katanya.

Malah, katanya, dengan 90 peratus daripada pengundi di situ merupakan kaum Melayu dan bekerja sebagai pesawah, rakyat semestinya bijak dan mahukan pemimpin yang boleh memberi mereka manfaat jangka panjang demi kelangsungan hidup terutamanya membabitkan punca rezeki mereka.

"Pada akhirnya dalam memilih sesebuah parti, rakyat tidak tengok personaliti, rakyat tengok parti mana boleh memenuhi harapan mereka, harapan rakyat untuk kemajuan diri, keluarga dan masyarakat mereka,” katanya.

Othman, sebelum ini berkata antara manifesto beliau di Parlimen itu sekiranya menang ialah mahu mewujudkan sebuah insititut penyelidikan padi dalam tempoh lima tahun akan datang bagi meningkatkan lagi pengeluaran padi bagi para pesawah.

Abd Ghani, seorang peguam syarie yang sedang menyiapkan Ijazah Doktor Falsafahnya dalam bidang undang-undang di UUM pula mahu membantu pesawah di kawasan itu yang didakwa beliau sebagai terbeban dan sering merungut mengenai harga benih padi berkualiti yang mahal.

Dalam hal ini, Abdul Halim berpandangan bahawa Othman, mempunyai kelebihan memandangkan calon itu memegang jawatan sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), satu badan yang diberi tanggungjawab merancang dan melaksana program-program pembangunan pertanian dan dianggap 'ibu'’ kepada para pesawah di Kedah.

"Dia (Othman) lebih dekat dan lebih tahu apa diperlukan rakyat atas kapasitinya sebagai pengerusi MADA, tak perlukan orang luar yang hanya datang lima tahun sekali," katanya.

Pada pandangan setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa MPN itu, pengaruh Mukhriz sangat lemah di Jerlun.

"Dulu dia menang atas sebab Umno dan BN, atas faktor pengaruh ayahnya Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata trend mengundi di Parlimen berkenaan pada kali ini agak berbeza daripada sebelumnya kerana kemenenangan seseorang calon itu bergantung kepada perpecahan pengundi pihak lawan masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, Othman dilihat masih mampu mengekalkan kerusi tersebut sekiranya jenteranya bekerja keras untuk memenangi hati pengundi terutamanya pengundi atas pagar yang dianggarkan 20 peratus daripada jumlah pengundi di situ.

Menurut sumber, setakat ini daripada 35 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang ada di Parlimen Jerlun, 11 daripada PDM itu merupakan kawasan putih buat BN, tujuh (kelabu putih), 12 (hitam) dan empat (kelabu hitam). - Bernama