Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN l Sepatutnya bahang PRU ke-14 bukan sekadar ini. Lazimnya kalau dalam tempoh ini, 'peluh' akan meruap-ruap seiring dengan semangat mahu memenangkan parti masing-masing.

Namun kali ini ia bukan begitu. Ia tidak seperti PRU lalu. Beberapa laporan daripada rakan-rakan menunjukkan bahang yang selalu dirasakan itu agak rendah kali ini.

Perang bendera memang ada, tetapi tidaklah terlalu sengit. Selebihnya 'perang saraf' melalui papan-papan tanda atau papan iklan yang kadang-kadang membuat kita tertanya-tanya: di mana mereka bersekolah dulu gamaknya?

Dan bahang yang tidak memuncak seperti biasa itu bukanlah semestinya membawa maksud tidak baik.

Perang poster misalnya boleh dianggap bukan lagi teras kepada pilihan raya - umum atau kecil - pada waktu ini. Kemudahan teknologi maklumat dan media sosial barangkali semakin mengambil tempat berbanding bendera.

Dan mudah-mudahan ada pihak - selepas 18 tahun kita memasuki alaf baru - mula sedar bahawa bendera tidak boleh mengundi.

Tiga hari saja lagi kita akan mula mengundi. Ini adalah PRU yang ke-14. Selepas puluhan tahun ini mungkin masanya untuk menunjukkan amalan politik lebih matang dan sejahtera.

Ia adalah masa untuk pilihan raya baru dengan harapan baru. Maksudnya, tiada lagi aksi-aksi pegun yang merendahkan martabat seseorang sebagai manusia berakal. Juga tiada lagi amalan kekerasan, ugut-mengugut dan saling memperdaya tahap memalukan.

Ya, masalahnya tidak semua orang mempunyai rasa malu, kan?

Paling penting, akal yang diberikan Tuhan untuk membezakan kita dengan haiwan itu diletakkan di tempat yang sewajarnya.

Semalam ada sekurang-kurangnya dua perkembangan yang sihat. Cuma memanglah satu daripadanya dicetuskan oleh perbuatan yang 'sakit'.

Tun Dr Mahathir Mohamad tidak perlu mengungkit tragedi Memali, sebenarnya. Apa lagi ungkitan itu dalam keadaan dan bahasa yang sangat melukakan. Kita yang tidak kehilangan apa-apa pada 33 tahun dulu pun terusik perasaannya, apa lagi mereka yang terlibat secara langsung.

Terlajak hantar WhatsApp mungkin boleh dipadam, tetapi terlajak kata-kata di atas pentas ceramah memang buruk padahnya.

Namun Dr Mahathir bertindak segera untuk meminta maaf. Inilah yang dimaksudkan perkembangan yang sihat. Sesuatu kesilapan wajib diiringi dengan pengakuan serta permohonan maaf secepat mungkin.

Sudah terlalu lama orang politik ini kita biarkan terlepas begitu saja apabila melakukan kesilapan. Kutuk dan kecamlah bagaimana keras pun, orang politik liat benar mahu meminta maaf.

Dan kalau memohon maaf pun, kata-katanya disusun dengan penuh helah.

Itulah yang saya maksudkan tadi - bukan semua orang ada perasaan malu, sedangkan kata nabi, perasaan malu itu adalah satu daripada cabang iman.

Soal maaf itu ikhlas atau tidak, itu biarlah Tuhan menentukan, kerana kadang-kadang kemarahan kita itu sendiri diragui asasnya - sama ada kerana Allah atau kebencian yang tersimpan lama.

Dr Mahathir sebelum ini juga agak segera meminta maaf dalam isu penggunaan kalimah "keling".

Untuk berlaku adil, BN pun ada juga meminta maaf, atau sekurang-kurangnya mengaku mereka tidak sempurna. Cuma ia mula kedengaran ketika hayat penggal parlimen semakin sampai ke penghujungnya.

Biasalah, semakin dekat tarikh pilihan raya keinsafan orang politik memang mudah menjelma. Ego akan diketepikan sempena keinsafan itu. Ia bagaikan air laut jugalah. Ada pasang surutnya.

Surutnya ego itu, sekarang. Pasangnya ego itu barangkali akan kembali lagi dan bertahan untuk tempoh empat atau lima tahun lagi.

Ego itu juga tidak mengenal pakaian seseorang. Kadang-kadang berjubah berserban pun, boleh tahan juga ego mereka.

Ego seseorang itu sama ada terpancar daripada tingkah laku atau perkataan, tetaplah dibenci. Seseorang ahli politik yang mahu menjadi wakil rakyat, mereka sepatutnya tahu tugas bagi jawatan yang berhormat dan dikejar-kejar itu ialah menyampaikan suara rakyat. Bukan supaya dipuja puji dan sembah oleh rakyat.

Maka tindakan Datuk Seri Najib Razak yang menahan diri daripada menggunakan kata-kata kasar semasa berucap di Langkawi semalam patut diberi pujian yang amat tinggi.

Kita sudah terlalu muak dengan amalan politik kotor dan keji, sama ada melibatkan perbuatan atau lisan.

Selain isu-isu berkaitan organ di bawah perut, caci-maki dan seranah sumpah sepatutnya dikawal daripada keluar mulut masing-masing.

Hujah dan serangan wajar terhad kepada isu dasar dan prestasi sesebuah parti, dan bukannya menggunakan kaedah lucah serta mengaibkan.

Tapi itulah, sekali lagi disebut: bukan semua orang ada rasa malu walaupun setiap seorang dilengkapkan dengan kemaluan. Sedangkan malu itu salah satu cabang iman.

Kata Najib semasa melawat padang tempur BN dan Dr Mahathir semalam beliau sepatutnya boleh saja menggunakan kata-kata kasar sebab pengkritiknya menghamburkan cacian dan umpatan yang keji.

Sejuk benar rasa perut mendengar hemah seorang pemimpin sehebat itu. Kata-kata yang terlafaz begitu terkawal, beralas dan sopan sesuai dengan tarafnya sebagai anak bangsawan.

Tiada umpatan seperti tercirit, terkencing, bebal atau barua. Jauh sekali menyebut lendir yang keluar dari kemaluan.

Cuma saya terlupa, siapakah yang pernah melafazkan ungkapan "kepala bapak kau" dan "haram jadah" kepada pihak yang tidak disenanginya dulu, ya?

Adakah mereka akan meminta maaf? Entahlah.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen
ADS