Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tentera dalam pantang 13 hari semangat turun mengundi

PRU14 |  Walaupun baru melahirkan cahaya mata kedua, seorang anggota tentera tetap bersemangat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi awal, di Kem 8 Briged, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Koperal Nurul Mas Hidayu Zakaria, 26, yang sedang berpantang 13 hari antara 1,724 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan yang berkhidmat di kem itu tampil menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.

Ditemani suaminya, Koperal Mohd Norhisyam Zakaria, pasangan itu tiba di pusat pembungan undi kira-kira jam 9 pagi tadi.

Nurul Mas Hidayu berkata, beliau selamat melahirkan bayi kedua mereka pada 23 April lalu dan tetap mengambil tanggungjawab sebagai pengundi untuk mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kali ini.

"Ini adalah kali pertama saya mengundi. Jadi saya tidak mahu melepaskan peluang ini," katanya kepada media ketika ditemui.

Rugi tak ambil bahagian

Proses pengundian awal di kem tersebut diketuai Panglima 8 Briged, Brig Jeneral Datuk Nazari Abd Hadi, yang tiba pada jam 8.50 pagi untuk mengundi diikuti barisan pegawai dan anggotanya.

Selain Nurul Mas Hidayu, Siti Sarah Syazwani Mohamad Alwi, 27, yang tiba bersama anak ketiganya berusia 56 hari turut tidak melepaskan peluang mengundi di kem berkenaan.

"PRU hanya sekali untuk lima tahun. Saya sanggup datang mendukung anak bersama suami untuk mengundi.

"Saya rasa rugi jika tidak mengambil bahagian semata-mata kekangan sebegini," katanya.

Selain Kem 8 Briged, pengundian awal melibatkan tentera turut berlangsung di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas; Kem Batu 11, Tanah Merah; Kem Batu Melintang, Jeli; Kem Machang serta Balai Polis Rantau Panjang menjadi pusat mengundi untuk anggota pasukan keselamatan dan pasangan.

Seramai 7,677 tentera dan pasangan mengundi awal membabitkan enam pusat mengundi di seluruh negeri ini bermula dari jam 8 pagi sehingga 5 petang.

Untuk rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pengundian awal di negeri itu melibatkan seramai 13,457 pemilih berdaftar.
 

Lihat Komen
ADS