Anak kepada Tan Sri Dr Rais Yatim, Danni Rais kecewa dengan tindakan Umno memecat keahlian bapanya tanpa memberi sebarang surat amaran, tunjuk sebab mahupun peluang membela diri.

Danni yang juga adalah ketua pemuda Umno Kampung Gagu di Jelebu berkata, bapanya dipecat hanya kerana lantang menyuarakan isu semasa yang rakyat juga mahukan jawapannya.

“Atas dasar apa? Menjadi kritikal dan lantang berhubung isu yang juga rakyat tertanya-tanya?

“Semua ini di sebalik bapa saya berada di Jelebu setiap hari sejak hari penamaan calon (28 April) membantu calon BN,” katanya di Instagram.

Rais yang memegang kerusi Parlimen Jelebu sehingga 2013 sebelum ini melahirkan rasa tidak puas hati apabila terdapat spekulasi yang mendakwa bahawa kerusi yang kini disandang wakil Umno akan diserahkan kepada MIC.

Susulan itu, lebih 200 penyokong BN dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mendesak pucuk pimpinan parti supaya mengekalkan status quo kepada Umno.

Menulis lanjut, Danni berkata, Umno adalah parti yang diperjuangkan oleh bapanya dengan “titik peluh, darah dan air mata” tetapi akhirnya dia "ditendang di gigi".

Sambil mengakui dirinya kecewa dengan Umno yang mengikut kata-kata Rais adalah parti untuk rakyat Malaysia, Danni berkata parti itu tidak lagi dapat menerima suara-suara atau pandangan yang berbeza.

Katanya, jika parti itu boleh bertindak tanpa pendengaran yang adil, bagaimana Umno mahu terus mempertahakan hak rakyat negara ini.

“Saya juga agak kecewa. Saya juga mainkan pernan saya dalam parti dan politik. Memandangkan parti tidak memberi keadilan kepadanya, saya yakin rakyat akan memberikan pengadilannya.

“Kita tidak harus berdiam diri. Kita mesti tampil kerana kita adalah harapan untuk esok,” katanya.

Keahlian Rais dalam Umno bersama Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz, dilaporkan ditamatkan semalam.

Ketiga-tiga veteran itu sejak kebelakangan ini didakwa semakin lantang mengkritik Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Najib Razak dan pentadbirannya serta menyokong Pengerusi Pakatan Harapan dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Walau bagaimanapun portal Utusan Malaysia Online petang tadi memetik Tengku Adnan sebagai berkata Lembaga Disiplin Umno hanya memecat Daim dan Rafidah kerana bersekongkol dengan pembangkang. Manakala Rais masih disiasat.