Kempen PRU14 di Johor - dua tangkapan, lebih 20 kes jenayah
PRU14 l Polis Johor telah merekodkan dua tangkapan serta lebih daripada 20 kes jenayah sepanjang tempoh kempen pilihan raya umum ke-14 setakat ini.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata dua tangkapan itu melibatkan lelaki, masing-masing berusia 57 dan 71 tahun.
Seorang daripadanya terbabit dalam insiden menolak seorang penyokong MCA dari pentas ketika parti itu sedang berkempen di Yong Peng, Batu Pahat manakala seorang lagi didakwa memukul seorang penyokong PAS menggunakan kerusi plastik di sebuah restoran di Skudai.
Bagaimanapun, kedua-duanya telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan lengkap, kata beliau kepada pemberita selepas hadir meninjau dan mengundi di pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.
Mohd Khalil berkata masing-masing disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan senjata dan Seksyen 325 kanun sama kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah.
Mohd Khalil berkata dalam tempoh sama, pihaknya turut merekodkan lebih daripada 20 kes jenayah lain termasuk satu melibatkan kes khianat menggunakan api atau bahan letupan dengan niat menyebabkan kerosakan; tiga kes (menerbangkan dron tanpa lesen sah); dua kes (menakutkan secara jenayah) serta satu kes kerana memalsukan dokumen.
Katanya, biarpun angka kes itu nampak tinggi namun beliau secara keseluruhan berpuas hati terhadap perjalanan kempen pilihan raya di negeri itu.
“Saya dapati kedua-dua pihak (pembangkang dan Barisan Nasional) telah melaksanakannya dengan penuh berhemah tetapi tetap juga saya ingin menasihatkan bahawa dalam apa juga perkara dibuat, semuanya tertakhluk kepada arahan Suruhanjaya Pilihan Raya dan peruntukan di bawah Akta Pilihan Raya.
“Jadi, sekiranya melangkaui itu, kita tidak akan teragak-agak dan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang melanggari had ketenteraman awam,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khalil berkata pihaknya sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk memastikan keselamatan orang awam pada hari pengundian 9 Mei ini dengan mengambil kira semua aspek termasuk pengurusan krisis.
- Bernama

