Menteri Besar Sementara Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mendakwa sambutan luar biasa terhadap kempen parti pembangkang bukannya daripada penduduk tempatan dan tidak semestinya diterjemahkan sebagai sokongan kepada Pakatan Harapan.

Pengerusi BN Johor itu sebaliknya berkata mereka yang hadir dalam kempen-kempen parti pembangkang datang dari seluruh pelusuk negara yang ingin mendengar propaganda daripada pemimpin pembangkang.

"Yang datang bukannya orang tempatan di sini dan berdasarkan pengamatan dalam sambutan luar biasa itu didapati hanya sedikit sahaja pengundi di kawasan berkenaan, selebihnya adalah penyokong mereka dari seluruh negeri.

"Berbeza dengan kerajaan BN, kita bukan sahaja kemuka calon tempatan malah memberi perkhidmatan dan sentiasa berusaha untuk memenuhi keinginan dan kehendak rakyat," katanya yang dipetik oleh Bernama.

Mohamed Khaled yang juga adalah calon Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata demikian ketika berucap melancarkan projek Dewan Masyarakat India Pasir Gudang di Bandar Seri Alam di Johor Bahru hari ini.

Beliau senada dengan Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Najib Razak yang menempelak Pakatan Harapan hari ini yang didakwanya terpaksa ‘mengimport’ orang luar untuk menghadiri ceramah mereka semata-mata untuk menunjukkan sokongan rakyat.

Katanya, BN tidak perlu melakukan taktik sedemikian kerana mempunyai penyokong tulen iaitu penduduk tempatan yang setia dengan perjuangan parti itu.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, para pengundi pada akhirnya mampu untuk menilai sendiri parti yang boleh menjamin kesejahteraan mereka berbanding parti pembangkang yang hanya ingin mendapatkan kerusi dan meletakkan calon nomad dalam piliharaya.

Ceramah HARAPAN pada malam Jumaat lalu di Putrajaya yang menampilkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Nik Omar Nik Abdul Aziz menarik sejumlah 4,000 hadirin manakala siaran langsung acara itu di laman Facebook pula mencecah 50,000 tontonan.

Semalam bertempat di di Bukit Piatu, Bukit Katil Melaka, Mahathir bersama Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz menggempur Melaka dengan kehadiran ribuan orang.

Pihak penganjur mendakwa tidak kurang 30,000 yang hadir manakala anggaran kasar Malaysiakini adalah sekitar 10,000 orang.

Di kawasan luar bandar, HARAPAN lebih banyak menganjurkan ceramah kelompok berbanding ceramah perdana bagi memikat pengundi.