Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Abang Jo ulang pesan Tok Nan: Jangan buta, tuli, bisu
Diterbitkan:  May 5, 2018 4:55 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

PRU14 | Kerajaan negeri Sarawak memiliki keazaman politik bagi mendapatkan sumber kewangan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan projek-projek pembangunan khusus bagi memacu perkembangan ekonomi negeri dengan lebih pantas.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata selain banyak projek-projek pembangunan telah dilaksanakan di Sarawak, masih banyak lagi projek yang sedang dirancang akan dilaksanakan khusus untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata bagi sesetengah pihak, khususnya pembangkang, yang mempersoalkan bagaimana hendak dilaksanakan projek-projek besar berkos tinggi yang dirancang, mereka sebenarnya sengaja tidak mahu melihat atau menerima kenyataan mengenai kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“…seperti kata arwah Tok Nan (Ketua Menteri terdahulu Allahyarhan Tan Sri Adenan Satem), ada mata - buta, ada telinga – tuli, ada mulut – bisu,” katanya semasa berucap di majlis perasmian program Sejiwa Senada di MJC Batu Kawa di Kuching hari ini.

Beliau berkata bagi yang ada mata, mereka pasti dapat melihat kemajuan pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan, seperti pembangunan Lebuhraya Pan Borneo, pembangunan pekan-pekan kecil yang kini menjadi bandar besar, rancangan pembangunan perkhidmatan LRT, kemudahan jalan raya, jambatan, dan pelbagai kemudahan lain yang dilihat meningkat sepanjang masa.

Abang Johari berkata bagi yang ada telinga, mereka harus mendengar apa yang diperkatakan serta apa yang diperlukan oleh rakyat, dan kemudian berusaha gigih untuk menjayakan atau melaksanakan segala kehendak ramai.

Katanya bagi yang ada mulut, seharusnya mereka bercerita mengenai belbagai kejayaan kerajaan dalam setiap sektor dan nikmat yang diperolehi hasil kejayaan-kejayaan ini, untuk memilih siapa yang sewajarnya dipilih mewakili mereka dalam pentadbiran.

Pilih doktor atau peguam

Pada PRU-14 (PRU-14) ini kawasan parlimen P196 Stampin menyaksikan pertembungan antara Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian dengan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, seorang peguam.

Abang Johari berkata sekarang tiba masanya bagi penduduk di kawasan parlimen Stampin untuk memilih sama ada seorang Doktor (Dr Sim adalah ahli kardiologi), atau seorang peguam (Chong) menjadi wakil mereka.

Kuching merupakan lokasi ketiga program Sejiwa Senada selepas Miri dan Saratok, program yang menjadi platform bagi kerajaan untuk bertemu, berkhidmat, dan menyebar maklumat kepada orang ramai mengenai apa yang telah dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan sosio ekonomi dan taraf hidup rakyat.

Sebanyak 140 petak pameran disediakan buat agenda-agensi kerajaan negeri dan persekutuan, serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan juga sektor swasta untuk memberi penerangan kepada kira-kira 5,000 pengunjung yang dijangka hadir memeriahkan program dua hari itu, yang bermula hari ini.

 

- Bernama

Lihat Komen
ADS