Anggota parti politik yang memiliki jawatan di pejabat-pejabat agama daerah antara punca fenomena kuliah politik di masjid sekitar Kedah dakwa Timbalan Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Kulim-Bandar Baharu, Mohd Hazmir Hamzah.

Mohd Hazmir mengulas kejadian serangan sekumpulan lelaki yang memakai baju berlogo PKR terhadap seorang penceramah agama di sebuah masjid di Lunas, Kedah seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku tiga hari lalu itu adalah kemuncak kepada bantahan pihak tertentu terhadap penceramah yang mengajar 'secara tidak betul' di masjid berkenaan.

"Perkara ini berlarutan apabila pejabat agama juga terlibat di mana penyelaras-penyelaras masjid di peringkat pejabat agama daerah adalah orang-orang yang terlibat dengan parti juga.

"Jadi, jika ada sebarang laporan (terhadap ceramah politik atas nama agama) pun tidak akan diambil tindakan," dakwa beliau.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi pihak Jabatan Agama Islam Kedah bagi mendapatkan maklum balas berhubung tuduhan berkenaan.

Tambah Mohd Hazmir, pihaknya menyeru agar penceramah berkenaan bertaubat daripada kegiatan menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik.

"Bertaubatlah kerana sudah banyak kali pihak kami berpesan kepada beliau. Tapi beliau sangat (degil) dan mungkin beliau rasa dirinya kebal," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 2 Mei lalu, seorang penceramah agama, Subri Md Arshad dilapor diserang di Masjid al-Muhtadin Sungai Seluang di Lunas, ketika menyampaikan kuliah tafsirnya.

Subri pernah menjadi calon PAS pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) dan bertanding di parlimen Kepala Batas menentang calon BN ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

Dalam kejadian sekitar jam 8.30 malam hingga jam 9 malam itu sekumpulan lelaki dilihat meluru masuk ke dalam masjid berkenaan dan mengganggu perjalanan kuliah agama yang disampaikan Subri.

Kejadian itu tular di media sosial dengan rakaman video yang menunjukkan suasana kecoh sehingga memaksa kehadiran polis menenangkan keadaan.

Mengulas kekecohan itu, Mohd Hazmir menyeru semua anak kariah di masjid berkenaan agar bertenang.

"Jangan menyakiti hati pihak lain, jangan berbohong dengan fakta.

"Jadikanlah masjid sebagai tempat menambahkan ilmu dengan ikhlas tanpa menyebelahi mana-mana pihak di dalam politik," kata beliau.