Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRU14 | Tan Sri Rais Yatim akan menjadi veteran politik terbaru yang akan menyertai kempen Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas Umno dikatakan menyiasatnya atas kenyataan yang cenderung berpihak kepada pembangkang.

Berdasarkan jadual Rais yang diperoleh Malaysiakini, bekas menteri berkenaan akan membuat penampilan di pekan kecil di Batu Kikir, Jempol di Negeri Sembilan, esok.

Bagaimanapun, Rais menunda kemunculannya ke 8 Mei, sehari sebelum hari mengundi.

Rais dijangka hadir di sana bagi berkempen untuk calon BERSATU Jempol Kamarulzaman Kamdias.

Jentera kempen BERSATU di Jempol ketika dihubungi mengesahkan mereka ada menerima makluman tentang kemunculan Rais di tempat mereka.

Awal hari ini, Setiausaha Agung Umni Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan Rais dan bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz serta Tun Daim Zainuddin dipecat daripada Umno.

Bagaimanapun, Tengku Adnan kemudian menjelaskan bahawa Rais hanya sedang dalam "siasatan" dan tidak dipecat.

Rafidah dan Daim semalam muncul di program HARAPAN di Melaka.

Rais tidak pernah berkempen untuk HARAPAN tapi telah berkongsi di Twitter kehadiran orang ramai di program HARAPAN.

Terdahulu, Rais berkata, tindakan ke atasnya akan membenarkannya mengeluarkan pendapat kepada khalayak yang lebih besar.

"Saya semestinya akan meminjamkan sokongan saya kepada mana-mana pihak yang mahukan masa depan baik untuk Malaysia.

"Saya akan pergi ceramah dalam beberapa hari ini, di mana-mana yang boleh, saya akan pinjamkan sokongan untuk situasi seperti ini," katanya.

Lihat Komen
ADS