Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ziarah Dr M ke pusara lambang makbulnya doa Fadzil Noor

PRU14 | Sehari selepas memohon maaf atas keterlanjuran katanya mengenai mangsa tragedi Memali, hari ini Tun Dr Mahathir hadir untuk menziarahi pusara bekas presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Dalam kunjungan singkat ke kawasan perkuburan berhampiran Kolej Islam Darul Ulum di Pokok Sena, Kedah itu, Dr Mahathir turut ditemani isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali serta pemimpin AMANAH, termasuk naib presidennya, Datuk Mahfuz Omar.

Tidak ketinggalan anak Fadzil yang juga calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi dewan undangan negeri Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Rombongan Dr Mahathir tiba kira-kira jam 6 petang dan menghabiskan masa kira-kira 15 minit di situ.

Bercakap kepada media Faiz berkata ia adalah sesuatu yang "diidam-idamkan" mereka sekeluarga kerana melambangkan kesedaran di pihak bekas perdana menteri berkenaan.

"Sesiapa saja yang pernah mentadbir negara, pernah melakukan kesilapan dan berasa insaf serta bertaubat, itu adalah yang terbaik.

"Apa yang penting, kami mahu mengajak rakyat bergerak ke depan, bukan ke belakang," katanya.

Politik bukan untuk bermusuhan

Ketika tragedi Memali berlaku - dan mengorbankan 18 nyawa - pada 1985 PAS dipimpin oleh Allahyarham Yusuf Abdullah ar-Rawa. Fadzil pula bertindak sebagai timbalan yang dipertua.

Fadzil adalah salah seorang pemimpin PAS paling lantang mengecam serangan berdarah itu yang berlaku ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun Dr Mahathir sebelum ini menyalahkan polis atas kejadian berkenaan.

Menurut Faiz memang arwah bapanya dan Dr Mahathir berbeza pandangan dalam politik namun perseteruan itu tidak memutuskan hubungan peribadi.

Ditanya sama ada lawatan itu bermotifkan politik kerana berlaku menjelang PRU ke-14, Faiz menafikannya.

Kata Faiz, kedua-dua tokoh terbabit memang mengenali antara satu sama lain dan menjalin hubungan baik walaupun berbeza parti.

Malah kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH itu, hubungan berkenaan pernah terjalin baik semasa Dr Mahathir dipecat daripada Umno pada 1969.

"Ini satu perkembangan yang baik bagi rakyat Malaysia kerana Tun menunjukkan teladan yang baik iaitu politik bukan untuk bermusuhan, sebaliknya cuma pentas demokrasi bagi membolehkan rakyat membuat pilihan yang tepat," katanya.

Faiz menambah Dr Mahathir juga pernah melawat Fadzil semasa bekas presiden PAS itu koma di hospital pada 2002.

"Saya percaya ini adalah satu penghormatan oleh Tun kepada arwah ayah saya," katanya.

Malah kata Faiz apa yang berlaku pada hari ini juga adalah manifestasi kepada doa almarhum bapanya yang berharap Dr Mahathir dipanjangkan umur supaya beliau dapat melihat sendiri kesan kesilapan yang dilakukan kerajaan BN.

Kata Faiz, dalam keadaan itu dia melihat ada petanda yang baik pada Dr Mahathir apabila pengerusi HARAPAN itu terbuka untuk meminta maaf atas kesilapan yang pernah dilakukannya.

"Jadi beliau melihat segala kerosakan, kepincangan dan salah tadbir urus hari ini memang benar-benar berlaku. Ini realiti, bukan mimpi," katanya.

Lihat Komen
ADS