Harga minyak kekal bukan gula-gula pilihan raya
PRU14 | Tanda tanya kebanyakan orang mengenai harga runcit minyak di negara ini kekal selama enam minggu berturut-turut, terjawab oleh penjelasan kerajaan hari ini.
Kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, kadar harga petrol dan diesel tu kekal kerana kerajaan telah membuat kajian berdasarkan rungutan rakyat.
Selain itu katanya ia juga sebagai tanda tanggungjawab kerajaan menangani kos sara hidup.
“Kita sedang kaji, kehidupan rakyat dari segi kos sara hidup ada banyak rungutan," katanya.
Selain itu Mohd Irwan juga menegaskan apa yang berlaku bukanlah helah kerajaan mahu memenangi hati pengundi.
“Ini bukan gula-gula PRU tetapi kerana kos sara hidup rakyat yang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menanganinya,” katanya.
Mohd Irwan ditemui media selepas mengadiri program Kenduri Rakyat Bersama Kementerian Kewangan, Lembaga Kemajuan Langkawi (Lada) dan komuniti Kampung Kelibang di Langkawi, malam tadi.
Ada hasil tambahan
Harga runcit petrol dan diesel di negara ini kekal berada pada harga RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.47 untuk RON97. Diesel pula dijual pada harga RM2.18 seliter.
Keadaan itu berkekalan selama enam minggu berturut-turut.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melaksanakan sistem penilaian semula harga secara mingguan mulai 20 Mac 2017.
Pengapungan harga itu dibuat selepas Putrajaya memutuskan untuk menghapuskan subsidi untuk minyak. Harga runcit domestik ditetapkan mengikut harga semasa petroleum dunia.
Malaysia akan mengadakan PRU ke-14 pada 9 Mei ini.

Kata Mohd Irwan kerajaan juga menyalurkan bantuan kepada rakyat - termasuk melalui skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) - hasil daripada dividen petroleum negara.
“Kerajaan ada hasil tambahan. Daripada hasil tu, kerajaan boleh bagi BR1M dan dalam bentuk yang lain kita boleh bagi minyak dalam bentuk harga berpatutan.
“Jadi selepas buat penilaian kita akan tengoklah bagaimana keadaan harga minyak. Maka, buat masa ini kita kekalkan lagi harga minyak untuk kesenangan rakyat,” jelasnya.
Bagaimanapun Mohd Irwan tidak menjelaskan secara terperinci sama ada kerajaan memang memberikan subsidi kepada harga minyak supaya ia kekal pada harga sekarang.
Tak banyak, sikit saja
Ditanya adakah harga minyak ini terus kekal selepas pilihan raya, Irwan berkata ia bergantung kepada keadaan semasa.
“Tengoklah harga minyak ni ebagaimana keadaannya.
"Kalau masih lagi kos sara hidup tidak baik, kita kena tengoklah untuk menangani kos sara hidup rakyat, katanya.
Katanya, selain membuat perkiraan berdasarkan harga semasa pasaran minyak dunia, kerajaan juga mengambil kira hasil yang diperolehi.
Ditanya adakah kerajaan tidak mengambil kira harga minyak antarabangsa Mohd Irwan berkata: "Bukan juga. Kita buat kira-kira pasaran antarabangsa tetapi kenaikan ini tidak menjejaskan dari segi hasil kerajaan kerana kita mempunyai pendapatan.
“Jadi kita sedang buat kajian lagi, kita lihatlah bagaimana setelah jemaah menteri baru ditubuhkan, perdana menteri kita akan bincang semula,” katanya.
Irwan bagaimanapun menyatakan dalam tempoh enam minggu kerajaan menampung lebihan harga minyak tidak memakan kos yang besar.
“Tak banyak sikit saja,” katanya ringkas.

