Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy berkata sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia yang patriotik untuk menggalas tugas yang tak ada sesiapa mahu lakukan dan menyelesaikan masalah yang timbul dalam 1MDB.

Arul berkata demikian sebagai mengulas kolumnis Malaysiakini P Gunasegaram yang menulis dalam artikel bertajuk  “Arul Kanda and the lies of 1MDB” (Arul Kanda dan penipuan 1MDB).

"Jelas daripada tulisannya, Gunasegaram tidak pernah menghadiri lebih 30 sesi perkongsian maklumat yang saya adakan di seluruh negara. Jika dia ada datang, saya pasti dia akan mengeluarkan kenyataan berbeza dan tidak hanya cakap sesuatu tanpa pertimbangan.

"Sejak saya ambil alih, tempoh 36 bulan lalu adalah kerja keras untuk memulihkan 1MDB. Ingat, masalah ini terkumpul dalam tempoh lebih lima tahun dan banyak isu besar perlu diselesaikan

"Sesuatu yang menyakitkan apabila dia mempersoalkan kerja keras saya dengan cara yang jahat, selaib membuat serangan peribadi, tuduhan tidak berasas, dan dakwaan palsu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Arul, pengorbanannya berbaloi kerana 1MDB kini menurutnya sudah stabil.

Selain itu, Arul juga berkata hutang 1MDB sudah dikurangkan daripada RM50 bilion kerada RM31 bilion dan rakyat Malaysia boleh melihat kejayaan projek TRX.

Tambahnya, pelabur antarabangsa seperti HSBC dan Prudential berebut untuk membuka ibu pejabat di premis itu.

"Sebagai rakyat Malaysia yang patriotik dan bertanggungjawab, saya bangga dengan hal ini," katanya.

CEO 1MDB itu berkata, sebagai tokoh masyarakat, dia sentiasa terbuka menderima kritikan membina dan cuba buat lebih baik.

"Namun, tak perlu buat serangan peribadi dan kenyataan yang mungkin memfitnah untuk menyampaikan pendapat.

"Bacaan sepintas lalu artikel itu menunjukkan Gunasegaram membuat kenyataan tanpa pemahaman yang jelas, namun bagi saya, fakta tetap fakta, dan dia tidak boleh lari dari itu," katanya.

Meskipun secara peribadi tidak rasa ada keperluan, namun, kata Arul, peguamnya kini sedang menyemak artikel Gunasegaram itu.

"Saya akan tunggu nasihat peguam tentang langkah terbaik untuk membersihkan nama saya dan menegakkan kebenaran fakta.

"Sekiranya ada tindakan lanjut selepas ini, ia adalah tindakan saya sendiri dan tidak melibatkan 1MDB atau kerajaan," katanya.