Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRU14 | Menteri besar sementara Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman hari ini mengakui pentadbiran kerajaan negeri itu kini dalam proses pelaksanaan hukum hudud.

Kata Ahmad Razif, kerajaan negeri tidak ada masalah untuk melaksanakan sistem perundangan Islam berkenaan.

“Insya-Allah, kerajaan negeri Terengganu tak ada hal (masalah), bila kita berjaya nanti insya-Allah di bumi Terengganu ini akan juga kita laksanakan hukum hudud, insya-Allah,” katanya ketika berucap di depan orang ramai dan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) petang tadi.

Beliau yang bertanding untuk mempertahankan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Seberang Takir itu berkata Umno Terengganu juga akan memberi sokongan jika rang undang-undang (RUU) persendirian dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibahas di parlimen sekali lagi.

RUU disebut Ahmad Razif itu merujuk kepada cadangan Abdul Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi menambah peruntukan hukuman sedia ada.

Sesetengah pengkritik berpendapat ia adalah pintu kepada pelaksanaan hukum hudud, manakala sebahagian yang lain menganggap RUU itu sepatutnya dibawa oleh kerajaan, bukan Abdul Hadi.

Dalam sidang media selepas majlis itu Ahmad Razif berkata pendirian Umno kepada idea memperkasa undang-undang Islam memang jelas.

Katanya ia dapat dilihat kepada sikap wakil rakyat Umno di DUN Kelantan yang menyokong usul memperkasa undang-undang Islam apabila ia dibentangkan PAS di Kelantan.

Terdahulu Ahmad Razif yang juga pengerusi BN Terengganu menghadiri majlis pelancaran Pusat Komuniti Sa’adah UniSZA, di Kuala Nerus, hari ini.

Konsisten dengan Islam

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata sejarah juga menunjukkan Terengganu adalah lokasi pertama berlakunya pelaksanaan hukum hudud satu ketika dulu.

“Jangan main-main, sebab dalam sejarah, negeri Terengganulah antara tempat diadakan hukum hudud satu masa dahulu, sebab kampung saya di Seberang Takir dijalankan hukum hudud. Kalau tidak, tak dinamakan Seberang Takir.

“Dulu ada cerita ada kisah dua orang, satu dari Manir dan seorang dari Kuala Besut. Itulah orang Terengganu yang kena hukum hudud atas kesalahan mencuri," katanya.

Justeru kata Ahmad Razif kerajaan BN Terengganu tidak ada masalah dengan pelaksanakan hukum hudud.

Namun katanya ia tidak perlu diuar-uarkan.

"Insya-Allah Terengganu ini akan menjadi contoh kepada orang lain,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Ahmad Razif turut mempersoalkan tindakan PAS yang tidak memasukkan isu hudud dalam manifesto pilihan raya parti tersebut.

“Kita persoalkan orang yang beria-ia nak buat hudud (tapi dalam) manifesto pun tak ada.

“Dan yang kita peliknya, dulu (kempen) negara Islam, kemudian negara berkebajikan dan sekarang negara sejahtera pula. Jadi tak konsisten," katanya.

Sikap PAS itu katanya berbeza dengan BN.

"Kita sejak sejak dulu, kini dan insya-Allah selama-lamanya kita konsisten memperjuangkan Islam dan kebajikan rakyat,” katanya.

Lihat Komen
ADS