PRU14 | Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menasihati Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mendahulukan yang wajib sebelum melakukan perkara yang sunat.

Beliau berkata tidak ada masalah bagi bekas perdana menteri itu untuk menziarahi mana-mana pusara kerana ia disunatkan tetapi jangan meninggalkan perkara yang wajib.

Perkara wajib itu kata Abdul Hadi ialah menegakkan pemerintahan Islam.

"Tak apa nak ziarah kubur 10 kali pun, tak ada masalah, sunat boleh dapat pahala tapi jangan tinggal yang wajib.

"Pergi ziarah kubur ini sunat, ziarah kubur Ustaz Fadhil (Noor), ziarah kubur Nik Aziz (Nik Mat), tapi menegakkan Islam dalam pemerintahan ini wajib," katanya dalam Bicara Santai Ayoh Chik bersama orang Besut.

Abdul Hadi berkata demikian selepas Dr Mahathir cuba menziarahi pusara bekas msrsyidul am PAS, Nik Abdul Aziz di Pulau Melaka, Kota Bharu pagi tadi.

Bagaimanapun lawatan itu dibatalkan selepas seorang anak bekas menteri besar Kelantan terbabit, Nik Adli, mengunci pintu masuk ke tanah perkuburan berkenaan.

Semalam Dr Mahathir menziarahi pusara Fadzil yang terletak di Pokok Sena, Kedah.

Fadzil ialah bekas presiden PAS dan seorang daripada anaknya, Faiz, menjadi calon Pakatan Harapan (HARAPAN) di Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Mengulas lanjut perkara itu, Abdul Hadi yang bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Marang itu berkata beliau sedih apa yang berlaku kepada pengerusi HARAPAN itu.

"Yang kita sedihnya dia (HARAPAN) guna orang tua, Tun Mahathir yang dah umur 93 tahun digunakan untuk lawan, bercelaru habis. Tak tahu mana wajib mana sunat.

"Hat (yang) wajib dia tinggal, hat sunat dia buat. Tinggal yang wajib buat yang sunat dengan ziarah kubur, sepatutnya mempertahankan kekuasaan orang Islam ini yang penting.

"Jangan tak sembahyang lima waktu, ini cara yang sangat tidak betul, jadi kita kena faham. Kita nak orang Islam yang berkuasa, orang Islam yang menguasai negara,' tegasnya lagi.