PRU14 | Anak kedua bekas perdana menteri Tan Sri Mokhzani Mahathir menafikan beliau menghina penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Mokhzani menjelaskan, maksud sebenar mesej yang disampaikan adalah mekanisme yang lebih berkesan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah.

“(Cara efektif) orang ada kerja, gaji yang setimpal untuk tampung keperluan mereka apa yang perlu dibeli dengan harga yang berpatutan,” katanya kepada pemberita di Sembang Santai Bersama Sahabat Berani Bersatu di Bistro Tok Senik.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau menggambarkan tiga senario yang akan berlaku kepada rakyat berkaitan dengan kos sara hidup dan juga BR1M.

Katanya, mungkin ada penerima BR1M merasa bangga dengan pemberian itu, namun realitinya mereka sebenarnya tidak mampu untuk membeli barangan yang mereka perlukan.

“Saya nak cerita pasal kemampuan, saya bagi tiga senario. Pertama kita rasa kita mampu beli sahaja, yang kedua kita pergi kedai, apa pun kita tak boleh beli kita rasa kurang kemampuan.

"Yang ketiga sebelum kita masuk kedai, ada orang jumpa kita bagi kita duit tambahan supaya kita masuk beli apa sahaja yang kita nak.

“Mungkin, kita rasa hebat kita boleh beli apa sahaja dalam kedai padahal kita tak mampu. Pasal apa, pasal kita nak beli apa-apa, satu hari nanti orang yang nak tolong kita tu jumlah (BR1M) dia semakin meningkat, dan mungkin kita rasa jadi kebiasaan untuk diri kita.

“Yang itu satu senario yang kita amat takut pasal senario pertama apa patut kita menuju satu sasaran, kita masuk di mana-mana sahaja, kedai runcit pun sama saja, kita boleh beli apa sahaja, gula beras. Yang itulah sasaran kita,” katanya.

Bagaimanapun beliau turut akur dengan golongan susah yang memerlukan bantuan BR1M, justeru pihaknya ingin memastikan golongan itu terbela dengan mengawal kos sara hidup.

“Memang kita akur ada golongan-golongan daif yang memerlukan pertolongan, itu tanggungjawab kerajaan untuk memastikan mereka terbela, tapi yang putar belit hari itu kata saya menghina sesuatu kumpulan dalam lapisan masyarakat kita, itu tak benar.

“Apa yang saya kata cuba sedaya upaya nak memastikan semua lapisan masyarakat mampu beli apa saja diperlukan bila mereka masuk dalam mana-mana kawasan, itu yang penting. Kos-kos dalam kedai yang depa nak pi ni kita (kerajaan) boleh kawal,” katanya.

Jumaat lalu, Mokhzani dilaporkan berkata menerima BR1M bukanlah sesuatu yang membanggakan dan walaupun kerajaan gembira kerana ia membantu rakyat dengan memberi bantuan itu, rakyat lupa bahawa mereka menerima wang itu kerana mereka tidak mampu menyara diri sendiri.