Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rais buat penampilan sulung di ceramah HARAPAN
Diterbitkan:  May 6, 2018 11:24 PM
Dikemaskini: 3:53 PM

PRU14 | Bekas menteri, Tan Sri Rais Yatim membuat penampilan sulung di ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) di Titi, Jelebu malam ini.

Ahli politik yang merupakan anak jati Jelebu itu tiba sekitar jam 10 malam, disambut sorakan orang ramai dan duduk di kerusi hadapan di pentas ceramah.

Lebih 1,000 orang hadir mendengar ceramah itu.

Bagaimanapun, setiausaha penganjur kebangsaan DAP Anthony Loke berkata Rais belum bersedia untuk memberi ucapan tetapi menghargai kehadirannya.

Loke, dalam ucapannya menceritakan pengalaman beliau  menyaksikan Rais berucap di atas platform pembangkang suatu ketika dahulu.

"Kali pertama saya mendengar Rais bercakap di ceramah adalah di sekolah menengah, ketika berusia 13 tahun. Saya teringat, pada masa itu, ia adalah pilihan raya umum 1990. Ayah saya dan saya berada di ceramah di Seremban.

"Masa tu (pembangkang) Gagasan Rakyat. Rais Yatim timbalan presiden Semangat 46, bersama dengan pengerusi DAP Chen Mah Hin dan Lim Kit Siang berceramah di Seremban, " katanya.

Semangat 46 adalah parti serpihan Umno.

Loke berkata beliau kagum dengan Rais ketika mendengar ceramahnya buat kali pertama.

"Saya kagumi Rais sebagai seorang yang cukup budiman, mempunyai penguasaan bahasa cukup baik, sentiasa gentlement. Walaupun politik tidak seangkatan bila beliau menteri, tapi beliau seorang gentlement." katanya.

Loke yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah berkata beliau gembira kerana ramai veteran Umno kini menyertai HARAPAN.

Pada akhir ceramah, Rais dilihat bergambar bersama Loke dan calon parti Amanah Negara (AMANAH), Bakri Sawir, yang bertanding di DUN Klawang.

Kedua-duanya adalah kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Jelebu, di mana Rais Yatim adalah bekas anggota Parlimen kawasan berkenaan.

Dua lagi kerusi DUN di bawah parlimen Jelebu adalah di Pertang dan Sungai Lui.

Pada pilihan raya umum lalu, pembangkang hanya berjaya menawan DUN Chennah - lokasi ceramah malam ini diadakan.

Walaupun Rais tidak berucap beliau merupakan seorang tokoh popular di Negeri Sembilan.

Orang ramai yang hadir tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan bergambar bersama beliau.

 

Lihat Komen
ADS