Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Mahathir tak sayang 'urang-urang' Sabah

PRU14 | Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak malam ini menyindir pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kelibatnya tidak kelihatan di Sabah sepanjang kempen pilihan raya umum ke-14.

Dalam satu program di Penampang malam ini, perdana menteri sementara itu mendakwa "seorang yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun" tidak suka berjumpa rakyat Sabah.

"Dalam kempen ini dia nak jadi PM semula tapi yang peliknya kalau nak jadi PM satu hari pun tak kempen di Sabah ini.

"Kenapa dia tak datang sabah?," katanya sambil disambut 'takut' di kalangan mereka yang hadir.

"Tuan-tuan suka dia datang ke sabah? Tuan-tuan suka waktu dia jadi PM 22 tahun?" soalnya yang disambut 'tidak' oleh mereka yang hadir malam itu.

"Kalau tak, tolak dia, sokong BN. Mana boleh nak jadi PM kalau tinggalkan Sabah. Maknanya apa? Maknanya dalam kepala dia, dia tak fikir urang-urang sabah," katanya yang menyebut 'urang' dalam dialek Sabah.

"Dalam hatinya dia tak sayang urang-urang Sabah. Saya sayang kepada orang Sabah, sebab itulah saya bawa banyak projek pembangunan untuk Sabah," katanya.

Najib berkata bekas perdana menteri itu mencetuskan ilham pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan, namun rakyat dikenakan bayaran tol.

"Saya buat Pan Borneo highway untuk Sabah, Sarawak tanpa tol. Kalau dia jadi PM mungkin dia kenakan tol," katanya.

BN dan parti pembangkang di negeri itu, Gabungan Sabah mendakwa Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan (HARAPAN) enggan membawa Mahathir ke negeri itu kerana bimbang persepsi negatif terhadap Mahathir.

Namun Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menafikan beliau menghalang Mahathir daripada melawat Sabah kerana sentimen negatif terhadap bekas perdana menteri itu.

Ramai rakyat Sabah percaya Mahathir mengabaikan negeri itu selama 22 tahun kepimpinannya.

Kebanyakan mereka juga menyamakan Mahathir dengan "Projek IC", yang menyaksikan beribu-ribu orang asing di negeri ini diberi kewarganegaraan.

Najib, terdahulu dalam ucapannya, mengakui beliau kepenatan kerana jadualnya yang ketat.

Lihat Komen
ADS