RANGKUMAN | Pagi hari kempen ke-9 diriuhkan dengan laporan tentang Nik Adli Nik Abdul Aziz, yang merupakan anak ketiga Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghalang lawatan Tun Dr Mahathir Mohamad ke pusara bekas Mursyidul Am PAS itu.
Menurut Nik Adli, beliau mewakili pihak keluarganya tidak mengizinkan ziarah pemimpin tersebut kerana merasakan ada kepentingan tertentu dan menjelaskan pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu boleh datang selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Rancangan ziarah Dr Mahathir di Kota Bharu itu dilihat merupakan kesinambungan dari ziarahnya ke pusara bekas presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Noor semalam di Pokok Sena, Kedah.
Dr Mahathir yang menggalas harapan pakatan pembangkang untuk menarik sokongan pengundi Melayu dilihat perlu berdepan dengan penyokong PAS yang bakal mempengaruhi keputusan di kerusi yang seimbang dari segi kekuatan BN dan HARAPAN.
Penyertaan Nik Omar Nik Abdul Aziz ke barisan HARAPAN seperti membuka sedikit ruang untuk perkara itu.
Dalam perkembangan sama, perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak menyifatkan tindakan Dr Mahathir cuba menziarahi pusara Nik Abdul Aziz sebagai "kepura-puraan pada tahap paling dahsyat" dan hanya untuk dijadikan modal politik.

Najib berkata demikian ketika berucap di Gugusan FELDA Chini yang terletak di dalam parlimen Pekan yang disandangnya.
Dalam program itu, Najib dilaporkan mengumumkan peruntukan RM14 juta bagi membuat kolam takungan air seluas 14 hektar untuk memastikan bekalan air di Gugusan FELDA Chini terjamin sepenuhnya.
Amaran, jangkaan saat akhir
Sorotan penting lain hari ini adalah peringatan oleh peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla yang mendakwa Najib kemungkinan akan menggunakan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan kemenangan BN.
Hanif berkata demikian ketika memberi empat senario berbeza yang kemungkinan Najib menjelang PRU Rabu ini.
Tiga senario lain yang diberikan Haniff adalah penggunaan pengundi hantu, mengumumkan meletak jawatan sebagai perdana menteri sementara, dan melarikan diri kira-kira sejam atau dua jam selepas keputusan pilihan raya.
Namun, BN juga mempunyai peringatannya sendiri tentang "serangan saat-saat akhir" pembangkang.

Timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengulangi perkara itu beberapa kali dalam ucapannya di program yang berbeza.
Perkara itu turut dikongsi oleh Naib Presiden Umni Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengingatkan taktik politik Dr Mahathir.
Menurutnya, menimbulkan emosi marah, simpati dan sedih dalam kalangan pengundi pada saat-saat akhir adalah sememangnya cara berpolitik Dr Mahathir sejak dahulu.
Kemunculan Syed Hamid
Dua hari selepas pemecatan dua bekas menteri Umno, bekas menteri kabinet, Tan Sri Syed Hamid Albar tampil dengan kenyataan yang menyentuh tentang pilihan raya.
Antara lain, Syed Hamid berkata; "Sebagai pengundi, kita tidak patut membantu mereka yang sudah sedia kuat".
Selain itu, bekas anggota Majlis Tertinggi Umno itu turut mengingatkan agar rakyat tidak gentar terhadap "mereka yang mempunyai kuasa".
Jumaat lalu, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin dipecat dari Umno kerana kritikan mereka terhadap BN dan dilihat cenderung berpihak kepada HARAPAN.
Meskipun tidak menyebut nama tertentu, Syed Hamid melalui kenyataannya di Twitter hari ini menyifatkan "Tiada penjara yang dapat menyekat keputusan".
Undi pos, kartel Dr M
Sorotan lain yang tidak kurang pentingnya adalah kecaman gabungan untuk pilihan raya bersih dan adil (BERSIH) terhadap kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung undi pos.
Bersih menyifatkan kenyataan SPR sebelum ini yang memberi peringatan kepada pengundi pos supaya jangan mengirim undi pos pada saat akhir sebagai tidak bertanggungjawab.
Pengarah Eksekutif BERSIH Yap Swee Seng berkata terdapat banyak aduan daripada pengundi yang masih belum menerima kertas undi pos mereka walaupun hari pengundian bakal berlangsung tiga hari lagi.
Di media sosial pula, melalui sidang media yang disiarkan di Facebook, bekas anggota Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Anina Saadudin mencabar tiga bekas menteri Umno yang kini menyokong HARAPAN untuk mengisytiharkan aset mereka.
Anina yang kini dilihat merupakan penyokong BN, merujuk kepada Rafidah, Daim, dan Rais, yang disifatkannya sebagai 'kartel lama Mahathir'.
Rais tampil di pentas HARAPAN
Sementara itu, ketika Umno dikatakan sedang menyiasat Tan Sri Rais Yatim berhubung beberapa kenyataannya yang dilihat mengkritik BN, bekas menteri itu tampil di pentas HARAPAN di Jelebu, Negeri Sembilan.
Ketika ditemui pemberita selepas program itu, Rais berkongsi pemerhatiannya dan mendakwa "Umno akan jadi sejarah jika tidak berubah".

Terdahulu, Rais menyatakan beliau tidak risau menerima nasib sama seperti Rafidah dan Daim.
Rafidah pula tampil di program HARAPAN di Bangsar memberi sokongan kepada calon PKR Fahmi Fadzil.
Dalam ucapannya, Rafidah mendedahkan bahawa nenek Fahmi merupakan individu yang bertanggungjawab membawanya masuk menyertai Umno.
Berbaki dua hari lagi berkempen, HARAPAN mengadakan tiga ceramah utama di tiga tempat berbeza masing-masing di Gombak, Keramat, dan Batu.
Calon BN tak muncul
Di Kampung Sungai Buaya, Morib, bagaimanapun, hampir kesemua calon BN yang dijadualkan membuat penampilan di program memperkenalkan calon BN Kuala Langat.
Iklan promosi program berkenaan memaparkan calon BN parlimen Kuala Langat Shahril Hamdan, calon BN DUN Sijangkang Sulaiman Mohd Karli, calon BN DUN Morib Rozana Kamarulzaman, dan calon BN DUN Banting Ng Siok Hwa.
Bagaimanapun, hanya Sulaiman yang muncul ketika program selesai.
Terdahulu, program itu bermula lambat dan kebanyakan 500 kerusi kosong sehinggalah lewat malam.
