PRU14 | Datuk Nur Jazlan Mohamed menolak aduan daripada pengundi luar negara yang mengadu tidak dapat menghantar kertas undi tepat pada masanya kerana tempoh kempen yang singkat bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Jumlah rakyat Malaysia yang mengundi di luar negara adalah kurang daripada 0.1 peratus penduduknya.

"Ia tidak akan mengubah apa-apa hasil. Jangan teruja," kata penyandang Timbalan Menteri Dalam Negeri itu dalam catatan Twitter.

Nur Jazlan memberi respons kepada seorang pengguna Twitter yang meminta calon BN bagi kerusi Parlimen Pulai itu memberi komen mengenai proses undi pos.

"Sudi ulas mengenai jenaka untuk proses pengundian bagi rakyat Malaysia di luar negara?" kata pengguna Twitter berkenaan.

Global BERSIH mengadu ramai pengundi di luar negara menerima kertas undi lewat, sehingga tidak mungkin dapat menghantarnya kembali ke Malaysia pada hari pengundian.

Pada masa lalu, pengundi luar negara boleh mengundi di kedutaan Malaysia masing-masing tetapi amalan ini telah dihapuskan dalam PRU kali ini.

Tempoh berkempen untuk PRU14 ialah 11 hari.

Kertas undi hanya boleh dicetak selepas hari penamaan calon, yang juga merupakan hari pertama kempen.