Debat batal: Razali tawar diskusi di rumah DO Muar hari ini
PRU14 l Program debat calon Parlimen Muar yang dijadual berlangsung malam tadi tidak dapat diadakan atas alasan tidak mendapat permit polis.
Berikutan itu, penyandang kerusi Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim dari Barisan Nasional (BN) yang dijadual berdebat dengan calon PKR, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebaliknya menawarkan satu sesi diskusi di rumah Pegawai Daerah Muar, Onn Jabar hari ini.
Razali berkata penyelesaian yang ditawarkannya itu bakal menyaksikan satu diskusi antaranya dengan dua calon parlimen kerusi itu iaitu Syed Saddiq dan calon PAS, Abdul Aziz Talib.
Razali berkata Onn bersetuju kediamannya dijadikan tempat diskusi.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas perjumpaan dengan pegawai daerah itu di Muar petang semalam.
Katanya, permit tidak diperlukan memandangkan tiada perhimpunan akan diadakan, manakala penyokong boleh menyaksikan sesi diskusi itu secara live streaming mulai jam 5 hingga 7 petang ini.
Razali menjelaskan sesi diskusi itu dicadangkan memandangkan ada pihak yang mendakwanya sebagai takut menyertai debat itu.
Terdahulu, Syed Saddiq mempelawa Razali dan calon PAS berdebat dalam satu sesi yang dijadualkan 9 malam tadi di Hotel Traders Muar.
Bagaimanapun, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd tengah hari semalam berkata program tersebut tidak dibenarkan kerana tidak memohon permit dan atas masalah keselamatan awam.
Sementara itu, Syed Saddiq dalam satu video yang dimuatnaik di laman sosialnya mempertahankan tindakannya tidak mendapatkan permit polis atas alasan sesi debat itu tidak melibatkan isu keselamatan awam.
"Saya dah berdebat berkali-kali. Sebelum ini sesi debat yang saya (sertai) tidak pernah terdapat masalah keselamatan. Kita bukan gunakan senjata. Kita gunakan hujah ilmiah," katanya dan turut menegaskan program itu tetap akan diteruskan malam tadi.
Calon PKR itu tiba pada pukul 8.30 malam di Hotel Traders Muar sambil diiringi penyokongnya dan masuk ke dewan disediakan.
Moderator program kemudian memulakan majlis kira-kira jam 9 malam sambil mengumumkan nama calon yang berdebat termasuk Datuk Seri Razali Ibrahim, calon BN, juga penyandang kerusi berkenaan.
Namun, Razali tidak kelihatan di majlis tersebut.
Bagaimananpun, Syed Saddiq meneruskan debat “berseorangan” dengan mengetengahkan beberapa isu antaranya rumah mampu milik, isu pendapatan anak muda dan isu sara hidup masyarakat.
Beliau turut menjawab beberapa soalan hadirin.
- Bernama

