PRU14 | Kerusi Parlimen Alor Gajah yang merangkumi lima kerusi DUN, kawasan pilihanraya itu mempunyai segala-galanya - dari tanah rancangan Felda, kampung-kampung terpencil serta pusat penduduk yang berkembang pesat - semuanya dipisahkan oleh ladang kelapa sawit dan ladang getah.

Ini menjadikan ia memakan masa untuk sampai dari satu penjuru Alor Gajah ke tempat yang lain, terutamanya kerana banyak jalannya sempit dan berliku.

"Dari Taman Angkasa Nuri (di sebelah barat) sepanjang perjalanan ke sini (di timur), ia akan mengambil sekurang-kurangnya satu jam atau lebih," kata calon BN bagi Parlimen Alor Gajah, Wong Nai Chee kepada Malaysiakini ketika dia berkempen di Ladang Bukit Asahan.

Wong telah merancang kempennya dengan berhati-hati untuk memperkenalkan dirinya kepada jentera BN setempat di semua 41 daerah mengundi, kerana dia tidak bekerja di kawasan itu sebelum ini. Beliau adalah Ahli Parlimen Kota Melaka dari 2004 hingga 2008.

Manakala lawannya dari Pakatan Harapan, Mohd Redzuan Yusof, dengan sumber yang terhad, boleh dikatakan menghadapi persaingan yang lebih sukar.

Redzuan, yang lebih dikenali sebagai Pak Wan, adalah seorang ahli perniagaan yang tidak mempunyai pengalaman politik masa lalu. Beliau telah membantu menubuhkan BERSATU di Melaka kerana Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merupakan kawan rapatnya.

Tetapi ketika BERSATU berkembang di Melaka, dia mendapati dirinya ditarik ke arena politik dan sekarang menjadi seorang calon pilihan raya.

Kurangnya pengalaman politik bukan satu-satunya halangan yang dihadapi Redzuan. Alor Gajah dianggap sebagai kerusi paling selamat bagi MCA kerana parti itu memperoleh majoriti tertinggi berbanding dengan semua kerusi parlimen yang dimenanginya pada pilihan raya umum lepas.

Penentangan berakhir

Penyokong akar umbi BN di Alor Gajah pada mulanya kecewa kerana penyandangnya dari MCA Alor Gajah, Koh Nai Kwong telah ditukar ke kerusi DUN Machap Jaya untuk memberi laluan kepada Wong, yang merupakan setiausaha politik perdana menteri.

 

Tetapi semasa jadual padat Wong untuk berjumpa dengan jentera tempatan di Alor Gajah, nampaknya akar umbi di situ telah berlembut dengan memberi sambutan hangat kepadanya.

"Strategi saya adalah untuk pergi dan memastikan bahawa jentera asas kita BN kenal saya. Sekiranya mereka mengenali saya, mereka boleh memperkenalkan saya kepada orang lain," jelasnya.

Katanya, mustahil baginya untuk mencapai 70,000 pengundi dan oleh itu dia perlu berjumpa (jentera tempatan) supaya mereka dapat menyebar maklumat mengenainya.

Bagi Redzuan pula, sebagai anggota pengasas BERSATU di Melaka, dia memilih pemimpin tempatan untuk menganggotai jentera pilihan raya BERSATU di Alor Gajah.

"Saya hanya kira-kira dua setengah tahun dalam politik...," katanya sambil menambah pengalaman yang dia ada adalah dalam mengendali organisasi dan "Saya percaya pengalaman itu berguna".

"Sebarang kekurangan dalam organisasi akan dibantu oleh parti komponen lain," kata Redzuan kepada Malaysiakini.

Muhyiddin turun membantu Redzuan pada awal kempen, di mana beliau bercakap di satu ceramah di daerah mengundi luar bandar Pekan Nyalas, Asahan, di mana BN memperoleh 1,072 daripada 1,614 undi pada 2013.

Walaupun untuk mengatasi lebih 11,000 undi majoriti MCA mungkin dilihat sebagai satu tugas yang mustahil, namun Redzuan percaya sentimen rakyat berubah, seperti yang dibuktikan oleh sambutan semasa ceramah di Pekan Nyalas, di mana 250 orang hadir.

Dua orang yang hadir di ceramah itu, Fatimah Ahmad dan Azizah Ismail, kedua-duanya pernah menjadi penyokong kuat BN tetapi ekoran kenaikan kos sara hidup, mereka mula merasakan kesempitannya.

Dulu, katanya, jika membawa RM50 ke kedai, dia boleh mengisi bakulnya hingga berat. Sekarang dia boleh membawa barangan bernilai RM50 dengan sebelah tangan sahaja, katanya yang berusia 64 tahun kepada Malaysiakini.

Walaupun ada penyokong BN yang mula beralilh, tetapi di kawasan pedalaman seperti Alor Gajah, masih terdapat ramai yang kekal bersama BN, tanpa mengira apa jua keadaannya.

Semasa Wong berkempen di Ladang Bukit Asahan, Tai Yun Chau yang berusia 80 tahun (gambar) dengan senang hati menyatakan sokongannya kepada calon BN itu walaupun terdapat pelbagai aduan yang dia ada.

"Saya pernah mendapat RM300 (dari kerajaan) tetapi kemudian dihentikan, jadi sekarang nak beli ubat pun, saya tak mampu.

"Keadaan kadang-kadang begitu sukar, saya tidak mahu cakap mengenainya," katanya, yang kelihatan emosional.

"Saya akan mengundi BN, saya selalu mengundi BN," kata Tai kemudian.

Tai, bekas penoreh getah, berkata dia tidak pernah ke sekolah dan kini tinggal bersama anak lelaki dan keluarganya.

Jirannya, Tan Wen Li, juga mengadu tidak dapat BR1M walaupun dia seorang ibu tunggal yang menganggur.

Suaminya meninggal pada tahun 2013, manakala dua anaknya telah berkahwin dan tinggal di Singapura, katanya.

Untuk menambah apa sahaja yang diberikan anak-anaknya untuk perbelanjaan hidup, Tan berkata dia mengambil upah, seperti menjahit.

"Saya terima RM450 dari BR1M setiap tahun. Tetapi mereka menghentikannya kerana mereka kata saya ada kereta," tambahnya.

Namun Tan yang berusia 56 tahun itu berkata dia ahli MCA dan akan terus menyokong MCA.

Walaupun dilihat ada yang beralih dari BN, namun ia memerlukan peralihan yang besar untuk mengurangkan majoriti lima angka MCA, yang akan menjadi tugas berat bagi Redzuan dari BERSATU.

Dalam pilihan raya umum lepas, MCA memenangi Alor Gajah dengan majoriti 11,597 undi, dengan memperolehi 32,594 undi berbanding DAP yang mendapat 20,997 undi.

Bagaimanapun, DAP menyerahkan kerusi parlimen majoriti Melayu itu kepada BERSATU, yang dipercayainya boleh melancarkan cabaran terbaik terhadap BN di situ.

[Baca berita penuh]