Ketua Umno Bahagian Silam Datuk Mohd Yusof Apdal telah berulang-kali bertegas bahawa kesetiaannya sentiasa kekal bersama Umno.
Tetapi sebagai adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, banyak pihak yang sentiasa mempersoalkan sama ada kesetiaannya benar-benar terhadap Umno/BN.
Malah sehingga hari ini BN Sabah mengumumkan senarai calonnya, hanya dua hari sebelum hari pencalonan, terdapat ura-ura bahawa Yusof akan digugurkan daripada senarai barisan BN.
Walau bagaimanapun Yusof yang telah mewakili penduduk DUN Lahad Datu sejak tempoh lima tahun lalu, tetap dipilih oleh BN untuk mempertahankan kerusinya di sebalik hubungan kekeluargaan dengan Shafie.
“Dalam perjuangan ini saya lebih yakin dengan Allah sebab apa yang saya hadapi adalah suatu jihad dan sebagai seorang yang yakin pada Allah ujian ini adalah suatu yang membawa kita kepada kekuatan.
“Andai kita menjadi seorang yang tabah, sabar, Insya-Allah janji Allah akan tetap bersama kita membela kita dan menjaga kepentingan kita," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Lahad Datu.
Walaupun Yusof mungkin telah menjelaskan kesetiaannya kepada Umno, namun, ada yang masih mempertikaikannya.
“Saya ada katakan bahawa saya pertama dah buat keputusan dengan niat yang baik, saya yakin pada Allah. Selagi niat saya betul, itulah yang saya katakan akan saya pertahankan.
“Apa yang orang lain kata mengenai saya, dia tak percaya saya, biar Allah akan tentukan pendirian saya dan hari ini nampaklah saya berada di sini (bersama Umno),” katanya.
Yusof, pada Oktober tahun lalu, ditahan selepas beliau menyerahkan diri di pejabat SPRM di Kota Kinabalu. Penahanannya itu susulan seorang lagi saudara mereka, Hamid Apdal yang juga ditahan.
Shafie sendiri ditahan pada 19 Oktober selepas penahanan ke atas adik-adiknya itu.
Di sebalik penahanan itu, Yusof selepas dibebaskan berkata beliau kekal setia kepada Umno.
Penahanan itu berkaitan siasatan SPRM terhadap dakwaan penyelewengan sekurang-kurangnya RM1.5 bilion dana pembangunan luar bandar yang diperuntukan kepada Sabah.
Shafie adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah sebelum dipecat pada tahun 2015 kerana mempersoalkan peranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam skandal 1MDB.
Selepas digantung keahliannya dalam Umno, Shafie - yang juga naib presiden Umno - meninggalkan parti dan kemudiannya menubuhkan WARISAN.