Bos AirAsia akui Najib dahulukan rakyat
Bos AirAsia Tan Sri Tony Fernandez hari ini secara terbuka menyokong dasar Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak yang disifatkannya "mendahulukan rakyat" dan membantu syarikatnya berkembang.
"Saya selalu berkata kepada kerajaan dan perdana menteri: Dahulukan rakyat, keputusan kemudiannya menjadi mudah.
"AirAsia bermula dengan dua pesawat dan menjadi 230 pesawat hari ini. Daripada 200,000 penumpang, tahun ini kami akan membawa 89 juta penumpang.
"Dan saya percaya perdana menteri mendahulukan rakyat dan membenarkan AirAsia berkembang walaupun terdapat pelbagai bantahan.
"Saya percaya fikir kerajaan dan perdana menteri bukan meletakkan Tony Fernandez, bukan AirAsia terlebih dahulu, bukan GLC lain, tetapi mendahulukan negara ini dan rakyat Malaysia,” katanya," katanya dalam video yang dimuat naik di YouTube milik Negarakru.
Saluran itu memuat naik video personaliti atau individu yang memuji dasar pentadbiran Najib, tetapi tidak sehingga tahap menggesa penonton untuk mengundi BN.
Fernandez berkata dasar pentadbiran Najib membantu AirAsia berkembang selama 10 tahun yang lalu.
Beliau kemudian menggesa pengundi tidak memilih berdasarkan spekulasi, tetapi mengundi berdasarkan fakta.
"Dan AirAsia adalah fakta, kami bermula dengan dua pesawat menjadi 230 pesawat, kami telah berkembang kerana dasar berasaskan pasaran bukannya melalui cara perlindungan," katanya.
Beliau berkata dasar sedemikian akan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang, lebih banyak pekerjaan dicipta dan lebih meritokrasi.
"Itulah Malaysia yang saya impikan," katanya.

