Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 12 hingga 14 September untuk mendengar saman fitnah yang dikemukakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap Sabah Publishing House dan seorang editornya berhubung laporan membabitkan kontroversi telur penyu .

Tarikh itu ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Darryl Goon di kamarnya semasa pengurusan kes hari ini.

Peguam Sasinaralia Sahar yang mewakli Ismail Sabri memberitahu pemberita bahawa penetapan tarikh berkenaan adalah tertakluk kepada sebarang permohonan yang mungkin dikemukakan oleh Sabah Publishing House.

Peguam kanan, Bhag Singh, yang mewakili Sabah Publishing House, berkata syarikat itu memfailkan usul kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 2 April lalu yang mengekalkan keputusan supaya perbicaraan diadakan di KL dan bukannya di Sabah.

Pada bulan lalu, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak rayuan daripada penerbit akhbar itu, Daily Express, dan editornya, James Sarda, untuk mengketepikan kes berkenaan, berdasarkan alasan bidang kuasa.

Mahkamah turut memerintahkan menteri tersebut untuk meminda pernyataan tuntutannya.

Hakim Datuk Rohana Yusuf, yang mengetuai panel hari ini berkata, perintah menolak saman itu adalah sesuatu yang sangat serius.

Ismail memfailkan saman itu pada Mac tahun lalu berhubung tiga artikel oleh Daily Express yang diterbitkan antara 24 Januari dan 9 September 2015. Laporan berkenaan mendakwa bahawa telur penyu dihidangkan kepada beliau pada satu majlis Umno di Sabah pada tahun 2015.

Adalah dilaporkan pada 9 Oktober lalu bahawa Sabah Publishing House, yang menerbitkan Daily Express, gagal untuk membatalkan saman Ismail.

Syarikat itu memohon untuk membatalkan saman itu atas alasan bahawa Ismail sepatutnya memfailkan tuntutannya di Sabah dan bukan di Semenanjung Malaysia - di sama ada di Mahkamah Malaya atau di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Syarikat penerbitan itu juga gagal dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di Sabah bulan Mac.

[Baca berita penuh]