‘Buang kipas kertas, jalan tegak jika mahu jadi PM’
Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad menawarkan beberapa nasihat kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail jika mahu menjadi perdana menteri.
“Jika beliau hendak menjadi perdana menteri, nasihat saya ialah buangkanlah kipas kertas itu dan berjalanlah dengan tegak supaya nampak lebih assertive dan confident.
“Janganlah nampak seperti pelakon opera Cina yang lengkap dengan kipasnya. Entah apa yang hendak dikipas atau adakah beliau cuba menutup mukanya kerana malu?
“Biar apa pun alasannya, jika hendak menjadi perdana menteri, kipas itu kenalah dibuang terlebih dahulu,” katanya dalam satu tulisan di blog.
Isteri kepada bekas pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yan sedang meringkuk dipenjara atas kesalahan meliwat seringkali dihat memegang kipas kertas berkenaan dalam majlis awam.
Walau bagaimanapun, Abdul Hamid berkata masih sukar untuk membayangkan bagaimana Wan Azizah mampu menjadi perdana menteri sekalipun tidak memegang kipas kertas.
“Itu pun, saya masih tidak dapat membayangkan bagaimana beliau akan menjadi perdana menteri. Beliau bukanlah material untuk jawatan itu
“Sama-samalah kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku pada 9 Mei 2018. Jangan salahkan ibu mengandung,” katanya.
Pakatan Harapan telah menamakan pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dan Wan Azizah sebagai timbalannya sekiranya gabungan pakatan pembangkang berjaya memenangi kuasa persekutuan.
Sementara itu, Abdul Hamid mengakui beliau bukan peminat ucapan ahli politik tempatan, terutama semasa musim pilihan raya.
“Ini kerana, pertama, saya tidak suka cara mereka menjerit-jerit, seolah-olah suara siapa yang paling kuat dialah yang betul. Saya teringat firman AllahSWT dalam Surah Luqman ayat 19 yang bermaksud ‘...dan sederhanakanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai.’
“Kedua, saya tidak tertarik dengan apa yang dikatakan mereka yang penuh dengan kata mengata, kutuk mengutuk, tuduh menuduh dan apa sahaja yang tidak baik mengenai lawan politik semasa mereka.
“Jika kita mengharapkan golongan ulama untuk menunjuk teladan yang berlainan, kita akan kecewa. Mereka juga serupa,” katanya.

