Kapal layar' Parti Warisan Sabah (WARISAN) tidak mampu membawa rakyat negeri itu membelah samudera luas kerana ia bersaiz kecil serta tidak stabil, kata Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, kata beliau, rakyat Sabah perlu memilih kapal lebih besar dan moden yang mampu merentasi lautan luas dan bergelora agar tidak hanyut atau terumbang-ambing sepanjang pelayaran.

Najib menggunakan analogi kapal layar merujuk kepada logo WARISAN manakala kapal besar dan moden sebagai BN semasa berucap di hadapan lebih 10,000 rakyat pada Majlis Bersama Rakyat di Beaufort, hari ini.

"Kita nak belayar lautan samudera, kita perlukan kapal moden dan lebih besar.

“Kapal layar ini kecil, main tepi pantai, kita (BN) kapal besar, parti besar yang kuat dari Perlis sampai ke Sabah," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.

WARISAN adalah parti yang ditubuhkan oleh bekas Naib Presiden Umno, Datuk SeriMohd Shafie Apdal yang bertindak keluar Umno pada 2016, setahun selepas beliau dipecat daripada kabinet kerana mengkritik skandal 1MDB.

WARISAN bukan parti komponen Pakatan Harapan, tetapi membentuk kerjasama dengan PKR dan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini.

Najib yang juga pengerusi BN berkata, rakyat Sabah juga perlu menolak lambang mata dengan merujuk kepada gabungan HARAPAN yang menggunakan logo PKR pada pilihan raya pada 9 Mei ini.

"Kita kena pilih orang (parti) yang boleh beri manfaat, pilih pembangkang habiskan beras saja sebab parti mereka ditubuhkan atas cita-cita peribadi, itu bukan asas kita, BN untuk rakyat.

"(Rakyat) jangan dengar banyak cerita palsu sekarang yang disebar luas, kononnya kita negara bankrap kerana hutang terlalu besar, itu tak benar. (Hutang negara) cuma 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Zaman Perdana Menteri selama 22 tahun dulu pernah cecah 103 peratus (hutang negara) daripada KDNK, kenapa (sekarang) putar belit, kenapa bohong. Sebab itu percayalah kita bukan negara gagal, kita negara yang diurus dengan baik oleh kerajaan BN," katanya lagi yang dipetik portal itu.

Beliau turut memuji semangat penyokong BN di Beaufort yang membentuk lautan biru dan melahirkan keyakinan BN mampu menang 3-0 di kawasan terbabit iaitu Parlimen Beaufort serta DUN Klias dan Kuala Penyu.