Dr M berhasrat majukan Pulau Tuba
PRU14 | Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) di Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad memberi keyakinan akan membangunkan Pulau Tuba, Langkawi seperti bandar-bandar lain sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) Rabu ini.
Katanya, beliau akan memberi penekanan dari segi pendidikan, kesihatan dan kemahiran kepada penduduk di Pulau Tuba untuk menjana pendapatan mereka.
“Orang Langkawi ada kilang simen sendiri, orang lain tak ada jadi kita akan gunakan simen itu untuk membekalkan rumah kepada orang Langkawi termasuk orang Pulau Tuba supaya mereka juga dapat hidup selesa seperti penduduk-penduduk di daratan sana di Alor Setar, Sungai Petani, dan di tempat-tempat lain.
“Nak jadi macam KL lambat sikit. Kita tak boleh nak ada LRT, MRT apa semua tapi kita ada perhubungan lebih baik, anak-anak kita akan diberikan biasiswa supaya mereka dapat latihan supaya dapat jadi doktor, peguam, jurutera dan sebagainya.
“Mereka memang boleh (berjaya) tapi kalau tak bagi peluang kepada mereka kerana tak ada duit, tentulah mereka tak boleh maju,” katanya dalam ucapannya ketika Kenduri Rakyat di Pulau Tuba hari ini.
Katanya, kerajaan akan memberikan biasiswa kepada mereka yang layak supaya penduduk di kawasan itu dapat membangunkan sumber ekonomi mereka.
Pulau seluas 17.63 kilometer persegi itu dihuni kira-kira 5,000 orang dan 1,900 daripadanya pengundi berdaftar. Ia terletak kira-kira lima kilometer di selatan Pulau Langkawi.
Disambut bagaikan 'pengantin baru'
Dr Mahathir ditemani isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali disambut kira-kira 500 penduduk umpama ‘pengantin baru’.
Khemah, serta terdapat dekorasi ditempat makanan beradap, bunga manggar menghiasi kawasan kenduri tersebut termasuk terdapat hiasan photobooth berlatar belakangkan bendera PKR.
Sementara itu dalam ucapannya, Dr Mahathir turut menceritakan kisah seorang wanita yang memulakan perniagaan kek kecil-kecilan sehingga kini mempunyai pelanggan seramai 90,000 orang menerusi Internet.
“Saya nak cerita sikit berkenaan seorang wanita, wanita ni pandai buat roti, buat kek dan dia letak di kedai-kedai kopi tapi tak maju. buatlah sikit-sikit tapi tak banyak
“Lepas tu dia mendapati promosi melalui Internet dia boleh jual lebih banyak kek dan sekarang dia mempunyai pelanggan 90,000 daripada Malaysia sehingga ke negara Arab di teluk. Itu menunjukkan bahawa kita ada kebolehan dan wang lebih banyak tapi cara kita berniaga mestilah kita betulkan,” katanya.
Justeru, bekas perdana menteri 22 tahun itu berjanji sekiranya HARAPAN menang, pihaknya akan memberi penerangan kepada golongan tersebut cara-cara untuk berniaga dengan betul bagi menjana pendapatan yang lebih baik
Katanya lagi, sekiranya HARAPAN menang, penduduk Pulau Tuba akan dibantu dari segi penambahbaikan jeti dan padang bola untuk riadah.
"Saya tak janji banyak cuma boleh buat saja, dulu pun tak ada siapa minta pun Langkawi jadi pulau bebas cukai.
"Masa jadi perdana menteri saya rela gugurkan cukai, sekarang Langkawi dah jadi 10 pulau peranginan yang terbaik di dunia, semua ini untuk kesenangan orang di sini," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata tidak akan membaiki ‘rumah robek’ seperti dilakukan oleh BN sebaliknya membantu secara menyeluruh untuk kesenangan semua penduduk.
“Kami tak macam tu, kami nak berkhidmat pada rakyat dan saya percaya orang Langkawi tahu kalau kerajaan pusat belanja wang di Langkawi, orang Langkawi dapat banyak nikmat,” katanya.

